1 bilion kanak-kanak terjejas kesan perubahan iklim 


Sierra Leone, Afghanistan dan Chad berada kedudukan paling teruk dalam indeks KidsRights terbaru berhubung hak kanak-kanak. – Gambar EPA, 19 Oktober, 2022.

KIRA-KIRA 1 bilion kanak-kanak berdepan risiko sangat tinggi akibat perubahan iklim, amaran kumpulan hak asasi pada Rabu, sambil menambah taraf hidup belia gagal bertambah baik dalam dekad yang lalu.

Indeks KidsRights, berdasarkan angka yang dibekalkan oleh agensi PBB, juga berkata lebih satu pertiga daripada kanak-kanak dunia iaitu kira-kira 820 juta, kini terdedah kepada gelombang haba.

Kekurangan air menjejaskan 920 juta kanak-kanak di seluruh dunia, manakala penyakit seperti malaria dan denggi menjejaskan kira-kira 600 juta kanak-kanak, atau satu daripada setiap empat orang, kata NGO Belanda KidsRights.

Indeks KidsRights mengukur hak kanak-kanak setiap tahun, meletakkan Iceland, Sweden dan Finland sebagai yang terbaik dalam aspek hak kanak-kanak dan Sierra Leone, Afghanistan dan Chad sebagai paling teruk, daripada 185 negara.

Daripada tiga negara teratas, hanya kedudukan Sweden yang berubah dari tahun sebelumnya, bergerak ke tempat kedua daripada kedudukan keempat.

Marc Dullaert, pengasas dan pengerusi KidsRights, menyifatkan laporan tahun ini sebagai “membimbangkan bagi generasi kanak-kanak semasa dan akan datang”.

“Iklim yang berubah dengan pantas kini mengancam masa depan dan hak asasi mereka,” katanya.

“Tiada kemajuan ketara dalam taraf kehidupan kanak-kanak sepanjang dekad yang lalu dan selain itu mata pencarian mereka terjejas teruk oleh pandemik Covid-19,” tambah Dullaert.

Pandemik Covid-19 memberi impak teruk kepada kanak-kanak, yang tidak mendapat makanan atau ubat akibat gangguan dan penutupan klinik, menyebabkan kira-kira 286,000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun maut akibatnya, kata KidsRights.

Buat pertama kali dalam dua dekad, bilangan buruh kanak-kanak meningkat kepada 160 juta, mewakili peningkatan sebanyak 8.4 juta dalam tempoh empat tahun lepas, kata Indeks KidsRights, yang disusun bersama Universiti Erasmus Rotterdam.

KidsRights berkata Angola dan Bangladesh berjaya memperbaiki kedudukan mereka dengan ketara dalam hal hak kanak-kanak.

Angola mengurangkan lebih separuh kematian kanak-kanak bawah lima tahun, manakala Bangladesh  mengurangkan jumlah kanak-kanak kurang berat badan di bawah lima tahun hampir separuh.

Tetapi laporan itu juga menyelar Montenegro kerana bilangan vaksin yang rendah, menduduki tempat ke-49 dalam indeks.

Tinjauan itu menggunakan data PBB untuk mengukur bagaimana sesebuah negara memenuhi Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-kanak. – AFP, 19 Oktober, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen