Palestin ucap terima kasih pihak berkuasa Malaysia selamatkan mangsa culik


Media tempatan melaporkan pihak polis berjaya menyelamatkan seorang mangsa berusia 31 tahun sehari selepas diculik sekumpulan rakyat tempatan yang dipercayai direkrut agensi perisikan Israel, Mossad bagi membantu rejim itu memburu anggota Hamas di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2022.

KEMENTERIAN Dalam Negeri dan Keselamatan Palestin merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Malaysia yang telah menyelamatkan seorang warga Palestin yang diculik di Malaysia baru-baru ini.

Kementerian itu dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Selasa turut mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia dan pihak keselamatan yang terlibat dalam usaha menyelamat itu.

Media tempatan melaporkan pihak polis berjaya menyelamatkan seorang mangsa berusia 31 tahun sehari selepas diculik sekumpulan rakyat tempatan yang dipercayai direkrut agensi perisikan Israel, Mossad bagi membantu rejim itu memburu anggota Hamas di Malaysia.

“Selain itu, mereka (polis Malaysia) dapat mendedahkan operasi anggota Mossad dan memburu serta menjejaki rangkaiannya.

“Kami mengecam jenayah terang-terangan yang dilakukan Israel terhadap seorang daripada rakyat Palestin di Malaysia dan kami menyeru agar pelakunya dikenakan hukuman,” menurut kenyataan itu.

Mangsa berjaya diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang, Beranang di Selangor dan Melaka dari 29 September hingga 4 Oktober lalu.

Seramai 11 individu berusia 21 hingga 40 tahun didakwa di Mahkamah Majistret pada 14 Oktober berhubung penculikan itu.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Jalan Mayang di Kuala Lumpur, pada 10.40 malam, 28 September lepas mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat jika sabit kesalahan. – Bernama, 18 Oktober, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen