Cikgu Fadli bebas tindakan tatatertib


Ravin Palanisamy

Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan memutuskan guru Matematik Mohd Fadli Mohamed Salleh tidak bersalah kerana lantang menyuarakan pandangan mengenai mengenai silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai. – Gambar Facebook, 18 Oktober, 2022.

GURU Matematik Mohd Fadli Mohamed Salleh tidak akan dikenakan sebarang tindakan tatatertib oleh Kementerian Pendidikan (KPM) susulan lantang menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran.

Perkara itu diputuskan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan yang juga membebaskan guru sekolah rendah itu daripada tiga pertuduhan yang dikenakan ke atasnya, berdasarkan surat daripada KPM bertarikh hari ini yang bocor di media sosial.

Surat tersebut ditandatangani Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan Yusran Shah Mohd Yusof.

Mohd Fadli menerusi Facebook malam ini menggesa surat yang dimuat naik di media sosial itu dipadam.

“Ada beberapa isu perlu dijelaskan dan diminta mana-mana admin yang ‘share’ (kongsi) surat tu (untuk) tarik balik. Ia sulit. Kongsi keputusan tak apa, bukan surat,” katanya. 

Sabtu lalu, Mohd Fadli menerusi Facebook mendedahkan dirinya berdepan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat daripada kerana sering menegur silibus subjek Matematik murid sekolah rendah, yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

Beliau juga pernah membangkitkan kebimbangan mengenai berat beg sekolah yang terpaksa ditanggung murid, serta bilangan murid di dalam kelas yang terlalu ramai.

Awal hari ini, Menteri Pendidikan Radzi Md Jidin berkata silibus pembelajaran yang dibangunkan KPM mempunyai kitaran dan tidak boleh diubah sesuka hati setiap tahun.

Beliau dipetik Bernama berkata penghasilan sesuatu silibus juga memerlukan proses kajian mendalam yang melibatkan banyak pakar dan guru berpengalaman serta berkebolehan.

“Ini bukan silibus Radzi Jidin. Saya ingin jelaskan silibus yang digunakan hari ini bermula pada 2017 dan untuk bina silibus itu, telah ada perbincangan sebelum itu lagi.

“Jika silibus ditukar secara kerap, cikgu-cikgu serta murid-murid akan menghadapi kesukaran nak sesuaikan diri dengan silibus baharu. Jadi apa yang berlaku selama ini (silibus), apabila selesai satu pusingan maka penilaian akan dibuat untuk melihat keberkesanan silibus tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Reading Progress di Shah Alam hari ini.

Tambah beliau, jika seseorang murid masuk Tahun Satu dengan silibus tersebut, mereka akan habiskan Tahun 6 dengan pendekatan silibus sama. – 18 Oktober, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen