Pengakuan Ismail Sabri cemar siasatan buku Tommy Thomas, kata Ambiga


PENGAKUAN Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bahawa kerahsiaan laporan siasatan ke atas buku bekas peguam negara Tommy Thomas sengaja dibatalkan untuk dijadikan modal menyerang Pakatan Harapan (PH) diselar peguam Ambiga Sreenevasan.

Dalam satu catatan di Twitter hari ini, Ambiga berkata pengakuan Ismail Sabri itu sesuatu yang tidak pernah terjadi sebelum ini dan berniat jahat.

Malah katanya serangan terhadap Thomas juga satu bentuk serangan ke atas sistem kehakiman negara.

“Serangan yang tidak pernah berlaku terhadap bekas peguam negara yang mendakwa penjenayah peringkat tertinggi adalah serangan terhadap 

“Untuk mengakui laporan itu dijadikan sebagai ‘peluru’ politik membuktikan ia berniat jahat.

“Sebarang siasatan kini tercemar kerana ini jelas merupakan penzaliman politik,” tulis Ambiga.

Media melaporkan Ismail Sabri dalam satu program di Bagan Datuk semalam menggesa jentera Barisan Nasional (BN) untuk menggunakan hasil siasatan buku memoir Thomas bertajuk ‘Justice in The Wilderness Thomas’ untuk menyerang lawan mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Saya dah beri peluru. Dalam kes Thomas, kita dedahkan kepada umum (laporan) jawatankuasa khas yang menyiasat. Saya dah beri peluru banyak.

“Saya minta menteri undang-undang supaya siarkan (laporan) di laman web mereka, perincian apa yang dilakukan, kesalahan yang dilakukan Tommy Thomas.

“Saya beritahu peguam negara ambil tindakan segera di bawah Akta Rahsia Rasmi, di bawah (pertuduhan) fitnah dan sebagainya.

“Kalau (isu tersebut) sudah dibawa, jangan tinggal begitu saja. Kita kena capitalise isu ini untuk serang mereka,” katanya. – 18 Oktober, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen