MCA sokong bekas presiden tanding kerusi Bentong


Ravin Palanisamy

MCA menyokong bekas presidennya bertanding di kerusi Parlimen Bentong pada pilihan raya umum akan datang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2022.

MCA menyokong bekas presiden Liow Tiong Lai sebagai calonnya di kerusi Parlimen Bentong untuk pilihan raya umum akan datang, kata Wee Ka Siong.

Melihatkan kepada komitmen Liow, Wee, yang merupakan presiden parti sekarang berkata keputusan untuk mengesyorkan Liow sebagai calon bagi kerusi Parlimen Bentong dibuat lebih setahun lalu.

“MCA telah membuat keputusan untuk menyokong pencalonan semula Tiong Lai semenjak satu tahun setengah yang lepas, dan beliau merupakan calon MCA yang paling layak untuk kawasan P089 Bentong,” kata Wee dalam satu kenyataan di Facebook.

Liow yang merupakan bekas menteri kesihatan dan pengangkutan, adalah ahli Parlimen Bentong dari 1999 hingga 2018.

Pada pilihan raya umum lalu, beliau tewas di kerusi itu kepada Wong Tack dari DAP dengan majoriti 2,032 undi.

Liow mendapat 23,684 undian manakala Wong Tuck mendapat 25,716 undi. PAS yang meletakkan ahli bersekutu Balasubramaniam Nachiapan mendapat 5,706 undi.

Wee, yang menggantikan Liow sebagai presiden parti, berkata Liow sentiasa komited dan berdedikasi untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan Bentong walaupun kehilangan kerusi itu.

“Ketika pandemik Covid-19 melanda, Tiong Lai juga bertungkus lumus mengumpul dana dan barangan bagi membantu rakyat.

“Ramai di kalangan pengundi telah menyatakan keinginan yang kuat secara terbuka mahu Tiong Lai kembali menjadi wakil rakyat mereka,” katanya. 

Wee berkata MCA akan memberi sokongan penuh kepada Liow untuk memastikan beliau menang dalam pilihan raya, dan membolehkannya merancang dan melaksanakan urusannya yang belum selesai di Bentong untuk kebaikan rakyat.

Minggu lalu, Wong Tack berkata beliau bersedia berdepan Liow sekali lagi bagi merebut kerusi itu pada PRU15. Jika kedua-dua pemimpin itu dicalonkan, ia adalah kali ketiga mereka bertembung di Bentong.– 18 Oktober, 2022.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen