Pakatan Sarawak mahu undang-undang lebih jelas tentang prosedur murtad


Desmond Davidson

Pemimpin Pakatan Harapan Sarawak (dari kiri), Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian, Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen, Pengerusi Amanah Sarawak Fidzuan Zaidi dan pemimpin akar umbi pada sidang media di Kuching hari ini.

PAKATAN Harapan (PH) Sarawak mendesak pihak berkuasa Islam negeri membangunkan garis panduan dan syarat yang lebih jelas bagi sesiapa yang mahu meninggalkan Islam (murtad) bagi memudahkan pengeluaran “Surat Murtad”.

Kerajaan negeri perlu meminda undang-undang Islam berkaitan syarat meninggalkan agama susulan keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lepas yang Mahkamah Syariah Sarawak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes murtad, kata pemimpin PH negeri.

“Tidak terdapat set prosedur dan setiap orang (yang mahu murtad) diberitahu perkara berbeza, menyebabkan kekecewaan dan putus asa,” kata Pengerusi Amanah Sarawak Fidzuan Zaidi dan pemimpin PH yang lain pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Kuching hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengerusi Pakatan Sarawak Chong Chieng Jen dan Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian.

Baru yang juga peguam kepada empat orang pemohon- tiga mualaf; Salina Jau Abdullah, Jenny Peter dan Tiong Choo Ting, dan seorang wanita Melayu-Islam Syarifah Nooraffyzza Wan Hosen-yang memohon kepada Mahkamah Persekutuan supaya mahkamah sivil mendengar permohonan kes murtad mereka.

Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak rayuan mereka apabila memutuskan Mahkamah Syariah Sarawak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes permohonan murtad kerana terdapat peruntukan dalam Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 yang boleh digunakan untuk mendengar kes seumpama itu.

Keputusan mahkamah tertinggi negara itu adalah penghakiman terakhir berkaitan pendapat yang mengatakan tiada peruntukan dalam Ordinan Mahkamah Syariah Sarawak 2001 yang membenarkan mahkamah agama mendengar kes murtad.

Di Sarawak, kes melibatkan mereka yang mahu murtad banyak berlaku dalam kalangan mualaf yang masuk Islam kerana perkahwinan. Sarawak adalah negeri majoriti penganut Kristian, walaupun jumlah penganut Kristian seluruh Malaysia tidak sampai 10%.

Fidzuan berkata PH mahukan prosedur menghendaki sesiapa yang mahu meninggalkan Islam untuk menyediakan dokumentasi bagi membuktikan mereka sudah tidak lagi mengamalkan Islam dan berniat keluar agama.

Banyak kes murtad di Sarawak berlaku dalam kalangan mualaf yang masuk Islam kerana perkahwinan. Sarawak adalah negeri majoriti penganut Kristian, walaupun jumlah penganut Kristian seluruh Malaysia kurang 10%. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2018.

Menurutnya lagi, perlu ada garis panduan yang jelas bagi peguam yang akan tampil bicara di mahkamah Syariah kerana “kami menjangkakan ramai peguam syariah akan keberatan mengambil kes murtad kerana takut dilabel memurtadkan Melayu”.

Katanya lagi, pihak berkuasa juga perlu mempertimbangkan untuk membenarkan peguam bukan Islam berkhidmat di mahkamah syariah.

Fidzuan berkata Baru yang mewakili empat pemohon itu menerima kecaman dan ugutan bunuh menerusi media sosial kerana kes itu.

“Baru hanya membantu empat orang itu berdasarkan kapasitinya sebagai peguam untuk melaksanakan hak mereka (empat pemohon) memilih agama mereka.

“Daripada fakta kes, sangat jelas yang dia tiada kaitan dengan keputusan mereka meninggalkan agama Islam dan mereka yang menuduhnya ada ‘agenda Kristian’ buat cerita bohong untuk penuhi apa sahaja matlamat mereka,” kata Fidzuan.

“Kami mengecam sesiapa yang cuba mempolitikkan peranan Baru dalam kes itu yang juga menuduh Pakatan Harapan tidak menghormati agama Islam.

“Manifesto kami jelas mengesahkan pendirian kami tentang Islam.”

Empat pemohon yang mahu murtad itu dihendaki melalui proses kaunseling selepas mendedahkan hasrat mahu meninggalkan agama, tetapi peguam Simon Siah mengatakan proses itu berbeza untuk setiap individu.

“Ada yang diminta pergi sehingga 12 sesi kaunseling dalam tempoh tiga tahun, ada juga yang hanya diminta pergi sekali.

“Syarat yang boleh dipersoalkan juga dikenakan misalnya kaunseling di Sibu tidak mencukupi dan hanya sesi kaunseling di ibu pejabat Kuching diterima,” kata Siah yang juga timbalan ketua Pemuda PKR Sarawak.

Malah selepas melalui proses kaunseling, Siah mengatakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula tidak mengiktiraf hasrat individu yang mahu murtad dan meminta mereka mendapatkan “Surat Murtad” dari mahkamah syariah.

Disebabkan prosedur itu menghala ke arah jalan buntu, mereka yang mahu murtad tiada pilihan kecuali membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan seperti kes empat pemohon diwakili Baru, katanya lagi. – 2 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen