DAP kecam Umno ekoran serangan, berita palsu terhadap Robert Kuok


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata DAP mengecam keseluruan Umno ekoran serangan bertali arus terhadap hartawan itu, yang suatu ketika dahulu pernah menjadi penderma kepada parti penting dalam Barisan Nasional itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2018.

DAP hari ini berkata keseluruhan Umno harus dipersalahkan atas serangan dan berita palsu yang ditujukan terhadap taikun Malaysia Robert Kuok.

Setiausaha agungnya Lim Guan Eng berkata DAP mengecam keseluruhan Umno ekoran serangan bertali arus terhadap hartawan itu, yang suatu ketika dahulu pernah menjadi penderma kepada parti penting dalam Barisan Nasional (BN) itu.

“Kami mengecam bukan sahaja Menteri Umno Mohamed Nazri Abdul Aziz, tetapi keseluruhan Umno, kerana berita palsu yang diciptanya, ketidakjujurannya dan serangan yang menyakitkan hati terhadap Kuok.

“MCA tidak perlu cuba membersihkan serangan Umno yang bersifat ekstremis dan rasis terhadap Kuok dengan mempersalahkan seorang individu (Nazri) sahaja apabila yang menyerangnya adalah Umno itu sendiri sebagai satu parti,” katanya dalam kenyataan.

Nazri, yang juga ahli majlis tertinggi Umno, baru-baru ini menggelar Kuok sebagai “pondan” dan mencabar ahli perniagaan itu untuk melepaskan kerakyatan Malaysia yang dipegangnya susulan dakwaan Raja Petra Kamaruddin yang menuduh beliau (Kuok) mendanai DAP dalam usaha untuk menggantikan kerajaan persekutuan BN dengan kerajaan Cina.  

Kuok menafikan segala dakwaan tersebut, termasuk dakwaan Raja Petra yang beliau mendanai The Malaysian Insight, dan sedang mempertimbangkan untuk menyaman blogger berkenaan.

Tanpa memohon maaf atas kenyataannya terhadap hartawan berusia 94 tahun itu, Nazri berkata beliau mengalu-alukan penjelasan Kuok itu.

Beliau kemudian berperang mulut dengan rakan-rakan BNnya daripada MCA seperti ketua pemuda Chong Sin Woon, yang telah menapis kenyataan yang dikeluarkan menteri pelancongan itu terhadap Kuok.

Nazri berkata Kuok tidak mewakili kaum Cina di Malaysia, begitu juga MCA yang kehilangan banyak kerusi dalam pilihan raya umum lepas.

“Pada pandangan saya, parti yang banyak menang kerusi majoriti Cina lah yang mewakili suara kaum itu. Dan ia bukan MCA.

“Melihat kepada keputusan pilihan raya umum 2013, anda boleh dengan mudah menyimpulkan yang suara kaum Cina di Malaysia adalah diwakili DAP dan bosnya adalah ‘tokong’ Lim Guan Eng.

“Ini sebab kenapa saya bekerjasama dengan dia kerana dia adalah suara kaum Cina,” katanya dipetik Malaysiakini.

Pertengkaran antara Nazri dan MCA dikatakan berlarutan ke mesyuarat kabinet pada Rabu lepas.

Lim berkata reaksi MCA seolah-olah segala masalah yang tercetus itu disebabkan oleh seorang menteri sahaja.

Semua sedia maklum yang Lim, yang juga ketua menteri Pulau Pinang, dan Nazri dilihat sangat mesra.

Selain Nazri kata pemimpin DAP itu pemimpin Umno berpangkat timbalan menteri seperti Tajuddin Abdul Rahman, dan berpangkat menteri seperti Tengku Adnan Tengku Mansor dan Azalina Othman Said turut membuat “serangan peribadi tidak berasas” terhadap Kuok.

Malah beliau mendakwa Perdana Menteri Najib Razak juga ada “menegur” Kuok.

Beliau turut memetik Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat yang menggelar MCA sebagai rasis kerana mempertahankan Kuok.

Memandangkan Umno pernah menerima sumbangan daripada Kuok - yang diakui sendiri taikun itu dalam memoirnya yang baru diterbitkan - parti dominan BN itu bolehlah disifatkan sebagai parti “paling tidak mengenang budi”, kata Lim.

“Sebaliknya mereka sesuka hati menyerang DAP kerana kononnya mengambil sumbangan Kuok, sedangkan DAP tidak menerima sesen pun.

“Kuok mengaku memberi derma kepada Umno dan MCA dalam memoirnya yang baru diterbitkan pada Disember lepas. Pengakuan itu boleh dibaca di muka surat 260 - ‘Saya sering diminta untuk memberikan sumbangan besar kepada parti pemerintah, Umno dan MCA, selepas merdeka pada 1957. Saya beri secara suka rela.’

“Umno sebaliknya membalas budi dengan tuba terhadap Kuok dengan membuli dan penuh kebencian,” katanya.

Lim berkata masyarakat Cina marah dan tidak akan pernah lupa bagaimana Umno menggunakan berita palsu, melancarkan serangan peribadi bertubi-tubi dan membuli ahli perniagaan terkenal itu, bahkan meminta supaya kerakyatannya dilucutkan.

Beliau berkata amat mengecewakan apabila MCA gagal atau takut untuk berbeza pandangan dengan Umno yang bertindak membuli Kuok.

Katanya lagi jika benar MCA parti berprinsip yang menjunjung tinggi kebenaran dan keadilan, ia harus mengecam Umno di atas serangan rasis dan berita palsu.

“Kenapa MCA masih membuang masa bekerjasama dengan Umno dan berada dalam BN sedangkan Umno menunjukkan kebenciannya terhadap MCA?

“MCA harus memutuskan hubungannya dengan Umno dan keluar daripada BN sebagai protes terhadap keengganan Umno menarik semula berita palsu dan memohon maaf di atas serangan rasis mereka.”

Lim berkata DAP memuji adik Najib, Pengerusi CIMB Nazir Razak kerana enggan terjerumus dalam serangan rasis dan ekstremis Umno terhadap Kuok.

Nazir menggambarkan Kuok sebagai seorang patriot, seorang ikon perniagaan Malaysia dan lelaki yang berbudi bahasa.

“Jelas sekali Nazir mampu untuk menjadi perdana menteri yang lebih baik daripada abangnya,” kata Lim – 2 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen