MYANMAR pada Jumaat mempertahankan tindakan mengerahkan pasukan tentera baru ke zon sempadan dengan Bangladesh yang menjadi lokasi kem ribuan pelarian Rohingya, menyalahkan ancaman militan ketika Dhaka menggesa pengunduran segera bagi mengurangkan ketegangan di sepanjang sempadan bermasalah itu.
Peningkatan tahap keselamatan minggu ini berpusat di kawasan bebas di antara kedua-dua negara, tempat kira-kira 6,000 Rohingya mendapatkan perlindungan selepas melarikan diri dari tindakan kejam tentera Myanmar pada Ogos lalu.
Kempen ketenteraan itu mendorong kira-kira 700,000 Rohingya merentas sempadan, dengan kebanyakannya menuju ke penempatan pelarian di wilayah Cox’s Bazar tenggara Bangladesh.
PBB menuduh Myanmar melancarkan kempen pembersihan etnik terhadap minoriti Islam.
Bagaimanapun, Myanmar dengan tegas mempertahankan tindakan keras itu sebagai usaha untuk mengusir militan Rohingya yang menyerbu pos polis tahun lepas.
Peningkatan tahap keselamatan di sepanjang sempadan adalah respons kepada risikan terbaru mengenai pergerakan militan Rohingya, kata jurucakap kerajaan Myanmar, Zaw Htay.
“Kami bertindak begini berdasarkan maklumat yang didapati mengenai keganasan, terutamanya pergerakan ARSA,” katanya kepada AFP, akronim bagi Arakan Rohingya Salvation Army, kumpulan militan dan menolak untuk mengulas lanjut.
“Ia tidak bertujuan untuk menimbulkan ketegangan kepada Bangladesh,” katanya.
Pada Khamis, Kementerian Luar Bangladesh berkata ia memanggil utusan Myanmar menggesa “pengunduran segera pasukan keselamatan Myanmar bersama aset ketenteraan dari kawasan itu.”
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Rohingya yang tinggal di kawasan itu berdepan tekanan ydaripada askar-askar Myanmar, yang meningkatkan rondaan di sepanjang sempadan yang dilindungi kawat berduri berhampiran perkhemahan serta memerintahkan kumpulan itu meninggalkan kawasan menggunakan pembesar suara.
Pada Khamis, seramai 100 askar Myanmar tiba berhampiran kem pelarian bersama kenderaan berat tentera, menurut pengawal sempadan Bangladesh dan Rohingya.
Ketegangan yang semakin meningkat tidak akan mempercepatkan rancangan penghantara balik yang ditandatangani negara jiran pada Januari.
Proses itu ditangguhkan pada saat terakhir kerana kekurangan persiapan dan protes oleh pelarian, yang takut pulang ke Myanmar tanpa jaminan keselamatan dan kewarganegaraan.
Myanmar menamakan Rohingya sebagai pendatang tanpa izin dari Bangladesh dan secara sistematik melucutkan hak undang-undang mereka dan akses kepada perkhidmatan asas di Rakhine, sebuah negeri yang menjadi tempat tinggal mereka sejak beberapa generasi. – AFP, 2 Mac, 2018.
Komen