PENULIS Switzerland Kim de l’Horizon mencukur kepalanya di atas pentas selepas memenangi Hadiah Buku Jerman yang berprestij pada Isnin, sebagai solidariti terhadap protes wanita di Iran.
“Anugerah ini bukan hanya untuk saya,” kata penulis pro-LGBT itu kepada hadirin di majlis anugerah di Frankfurt.
“Saya fikir juri memilih teks ini juga untuk menghantar isyarat menentang kebencian, atas nama cinta dan perjuangan semua orang yang ditindas kerana tubuh mereka,” katanya.
Selepas diumumkan sebagai pemenang untuk novel sulungn ya “Blutbuch” (Buku Darah), penulis bermisai itu naik ke pentas dan menyanyikan lagu, sebelum menggunakan pencukur elektrik untuk mencukur rambutnya di atas podium.
Juri berkata ia telah “diilhamkan” oleh novel itu.
“Dengan tenaga kreatif yang luar biasa, narator novel Kim de l’Horizon… mencari bahasanya sendiri,” kata juri.
Hadiah Buku Jerman memberi penghormatan kepada novel berbahasa Jerman terbaik tahun ini dan disertakan dengan hadiah 25,000 euro (AS$24,600).
Majlis anugerah itu secara tradisinya mendahului permulaan pesta buku Frankfurt, yang terbesar di dunia, yang akan berlangsung dari Rabu hingga Ahad.
Iran telah digemparkan dengan gelombang protes sejak kematian Mahsa Amini yang berusia 22 tahun bulan lalu, beberapa hari selepas beliau ditangkap oleh polis moral di Tehran kerana didakwa melanggar kod pakaian ketat Iran terhadap wanita. – AFP, 18 Oktober, 2022.
Komen