AUSTRALIA pada Selasa berkata ia tidak lagi mengiktiraf Baitulmaqdis Barat sebagai ibu negara Israel, menarik balik keputusan yang dipertikaikan oleh kerajaan konservatif sebelum ini.
Menteri Luar Penny Wong berkata status bandar itu harus diputuskan melalui rundingan damai antara Israel dan Palestin, dan bukan melalui keputusan sepihak.
“Kami tidak akan menyokong pendekatan yang menjejaskan (penyelesaian dua negara), katanya, menambah: “Kedutaan Australia sentiasa berada, dan kekal, di Tel Aviv”.
Kerajaan konservatif yang dipimpin oleh Scott Morrison menghadapi tindak balas yang meluas dalam negeri atas keputusan 2018 untuk mengikuti bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dalam menamakan Baitulmaqdis Barat sebagai ibu negara Israel.
“Saya tahu ini telah menyebabkan konflik dan kesusahan di sebahagian masyarakat Australia, dan hari ini kerajaan berusaha untuk menyelesaikannya,” kata Wong.
Beliau menuduh kerajaan Morrison didorong oleh pilihan raya kecil yang penting di pinggir pantai Sydney dengan komuniti Yahudi yang besar.
“Anda tahu apa ini? Ini adalah permainan sinis, tidak berjaya, untuk memenangi kerusi Wentworth dan pilihan raya kecil.”
Keputusan 2018 itu juga menyebabkan kekecohan di negara jiran Indonesia – negara dengan majoriti penduduk Islam yang paling ramai di dunia – menunda perjanjian perdagangan bebas buat sementara waktu.
Baitulmaqdis dituntut oleh kedua-dua Israel dan Palestin.
Kebanyakan negara asing mengelak daripada menempatkan kedutaan di bandar itu kerana bimbang akan menganggu rundingan damai mengenai status bandar itu.
Israel menduduki Baitulmaqdis timur dalam Perang Enam Hari 1967 dan kemudiannya mengilhakkannya, mengisytiharkan seluruh kota itu sebagai “ibu kota yang kekal dan tidak boleh dibahagikan.”
Rakyat Palestin mendakwa bahagian timur sebagai ibu kota negara Palestin masa depan.
Wong menegaskan keputusan itu tidak menandakan sebarang permusuhan terhadap Israel.
“Australia akan sentiasa menjadi rakan setia Israel. Kami adalah antara negara pertama yang mengiktiraf Israel secara rasmi,” katanya.
“Kami tidak akan goyah dalam sokongan kami terhadap Israel dan masyarakat Yahudi di Australia. Kami juga tidak berbelah bahagi dalam sokongan kami terhadap rakyat Palestin, termasuk sokongan kemanusiaan.”
Keputusan Canberra dilihat tidak mengejutkan kerajaan Israel. – AFP, 18 Oktober, 2022.
Komen