Kanada sekat wartawan, pelakon Rusia


Kanada pada Isnin megenakan sekatan baharu terhadap 34 wartawan, pelakon dan penyampai televisyen Rusia, yang digelarnya sebagai ejen propaganda. – Gambar EPA, 18 Oktober, 2022.

KANADA mengumumkan sekatan baharu pada Isnin terhadap 34 wartawan, pelakon dan penyampai televisyen Rusia, serta TV nasional milik kerajaan Zvezda, menggelar mereka sebagai “ejen propaganda”.

Senarai itu termasuk Vladimir Mashkov, yang terkenal di Barat atas karyanya dalam filem “Behind Enemy Lines” dan “Mission Impossible,” Pavel Gusev, ketua pengarang akhbar Moscow Moskovskij Komsomolets, dan Kirill Kleimyonov, ketua bahagian berita di Channel One milik Rusia.

Ottawa mendakwa mereka “menyebarkan naratif palsu yang menjadi alasan untuk perang tidak wajar rejim Rusia” di Ukraine, menurut satu kenyataan.

“Perang rejim Rusia bergantung kepada pembohongan dan penipuan,” kata Menteri Luar Melanie Joly. “Ia memenjarakan warganya sendiri yang berani bercakap benar.”

“Kami nampak pembohongan itu,” tambahnya.

Pengumuman terbaharu itu membawa kepada lebih 1,400 jumlah individu dan entiti di Rusia, Ukraine dan Belarus yang telah disekat oleh Kanada sejak serangan besar-besaran Moscow yang bermula pada 24 Februari lepas. – AFP, 18 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen