SEBUAH pesawat tentera Russia terhempas semalam di kawasan kediaman, sebuah bandar di barat daya Russia berhampiran sempadan Ukraine menyebabkan berlaku kebakaran besar dan membunuh sekurang-kurangnya enam orang, menurut pihak berkuasa Rusia.
“Enam orang maut, 19 cedera termasuk dua kanak-kanak,” kata jurucakap kementerian mengenai situasi kecemasan berkenaan.
Kebakaran di sebuah bangunan kediaman sembilan tingkat berjaya dikawal dan hampir dipadamkan, kata gabenor wilayah Veniamin Kondratyev yang berada di tempat kejadian malam semalam menerusi Telegram.
Presiden Russia Vladimir Putin dimaklumkan mengenai kebakaran itu dan mengarahkan semua bantuan yang diperlukan diberikan kepada mangsa akibat insiden pesawat tentera, kata Kremlin kepada agensi berita kendalian kerajaan TASS.
Blok kediaman dimakan api
kementerian pertahanan Rusia berkata semalam sebuah pesawat Su-34 terhempas ketika berlepas untuk menjalankan penerbangan latihan dari lapangan terbang tentera Daerah Tentera Selatan.
Kenyataannya berkata jet tentera itu tidak berfungsi selepas “salah satu enjinnya terbakar semasa berlepas”.
“Di lokasi nahas Sukhoi Su-34, di halaman kawasan perumahan, bahan api pesawat itu terbakar,” kata kementerian itu.
Imej di media sosial menunjukkan sebuah blok kediaman era Soviet yang dimakan api.
Kebakaran merosakkan lima daripada sembilan tingkat sebuah bangunan kediaman, menurut perkhidmatan kecemasan yang dipetik oleh agensi kerajaan Rusia.
Kebakaran merebak lebih 2,000 meter persegi, tambah perkhidmatan itu.
Kira-kira 600 penduduk tinggal di bangunan itu, kata pentadbiran Krasnodar tempatan di Telegram.
“Gabenor mengarahkan lokasi setiap penduduk ditetapkan,” kata pentadbiran.
Gabenor Kondratyev memberitahu pemberita pentadbirannya menyediakan bantuan maksimum kepada penduduk dan berjanji untuk menentukan sama ada rumah itu akan dipulihkan atau membina pangsapuri baharu.”
Kondratyev sebelum ini berkata di Telegram bahawa api merebak ke beberapa tingkat dan 17 flat terjejas.
Siasatan dibuka
Jawatankuasa penyiasat Rusia yang meneliti jenayah serius berkata ia membuka siasatan jenayah ke atas nahas itu.
Sejak permulaan serangan Ukraine, ruang udara di sekitar selatan Rusia ditutup.
Bandar Yeysk terletak di Teluk Taganrog di Laut Azov bertentangan dengan Mariupol yang berada di bawah kawalan Rusia. Pekan ini mempunyai kira-kira 85,000 penduduk.
Kemalangan yang melibatkan pesawat awam Rusia dan pesawat perang adalah perkara biasa, biasanya disebabkan oleh kerosakan teknikal atau kesilapan manusia.
Pada Jun sebuah pesawat tentera terhempas di bandar Ryazan, tenggara Moscow membunuh empat orang dan mencederakan lima yang lain. – AFP, 18 Oktober, 2022.
Komen