9,000 tentera Rusia akan ditempatkan di Belarus


Kementerian Pertahanan Belarus berkata seramai 9,000 tentera Rusia dan kira-kira 170 kereta kebal akan dikerahkan di Belarus, sekutu Moscow untuk membina pasukan bersama baharu. – Gambar EPA, 18 Oktober, 2022.

SEHINGGA 9,000 tentera Rusia dan kira-kira 170 kereta kebal akan dikerahkan di Belarus, sekutu Moscow untuk membina pasukan bersama baharu, kata kementerian pertahanan Belarus hari ini.

Penubuhan pasukan baharu yang ditugaskan untuk mempertahankan sempadan Belarus terhadap ancaman Ukraine diumumkan minggu lalu berikutan kemunduran Rusia dalam serangannya di Ukraine.

Jumlah tentera Rusia yang sepatutnya tiba di Belarus adalah sehingga 9,000, menurut Valeri Revenko, penasihat kementerian pertahanan Belarusia untuk kerjasama ketenteraan antarabangsa di Telegram.

Revenko berkata Rusia juga akan menghantar ke Belarus kira-kira 170 kereta kebal, 200 kenderaan berperisai dan 100 senjata serta mortar dengan kaliber melebihi 100 mm.

Unit-unit Rusia akan ditempatkan di empat tempat latihan di timur dan tengah Belarus di mana mereka akan mengambil bahagian dalam latihan yang melibatkan tembakan tempur dan peluru berpandu anti-udara, kata Revenko.

Belarus menegaskan pasukan itu akan menjadi pertahanan yang unik dan bertujuan untuk mengamankan sempadannya.

Minggu lalu pemimpin Belarus Alexander Lukashenko mendakwa Ukraine merancang untuk menyerang negaranya dan mengumumkan pasukan bersama Moscow.

Lukashenko menuduh Poland, Lithuania dan Ukraine melatih radikal Belarusia untuk melakukan sabotaj, serangan pengganas dan menganjurkan pemberontakan tentera di negara itu.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky menuduh Rusia cuba secara langsung menarik Belarus ke dalam perang berkenaan pada mesyuarat G7 baru-baru ini.

Zelensky menggesa misi pemerhati antarabangsa diletakkan di sempadan Ukraine-Belarus.

Lukashenko adalah sekutu Presiden Rusia Vladimir Putin dan membenarkan wilayah Belarusia digunakan oleh tentera Moscow untuk melancarkan operasi ketenteraan terhadap Kyiv pada Februari.

Tetapi angkatan bersenjata Belarus sehingga kini tidak mengambil bahagian dalam serangan itu.

Belarus bergantung dari segi kewangan dan politik kepada sekutu utamanya Rusia.

Pada musim panas Rusia berjanji kepada Belarus ia akan menghantar peluru berpandu Iskander M dalam beberapa bulan yang mampu membawa hulu peledak nuklear dan ia akan memodenkan pesawat perang. – Bernama, 18 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen