-2.jpg)
MINGGU ini Malaysia kalut dengan pelbagai kebarangkalian. Sejak parlimen dibubarkan, segala pergerakan adalah sebahagian percaturan politik. Ini termasuk untung nasib rakyat Malaysia.
Kekalutan ini juga mengakibatkan ramai yang sepatutnya ambil kesah, terlupa (atau mungkin pura-pura melupakan) pembentangan bajet yang berlaku pada minggu sebelumnya.
Minggu yang kebiasaannya sibuk dengan perbincangan dan perbahasan bajet, bertukar kepada bagaimana mahu menaikkan parti dan seterusnya menang kerusi Perdana Menteri. Isu bajet yang seperti gajah di depan mata pun dibiarkan begitu sahaja, sedangkan nyamuk di seberang laut jadi keutamaan.
Apakah agenda Bumiputera ini sekadar menjadi bahan sorakan ketika bertanding pilihanraya. Ini sangat merisaukan.
Sedarkah wahai Bumiputera sekalian bahawa , peruntukan untuk Bumiputera telah dikurangkan sehingga 33% berbanding tahun 2021? Langsung tidak menunjukan keprihatinan apatah lagi kesedaran tentang hakikat kedudukan Bumiputera setelah pandemik Covid-19.
Kononnya bajet 2023 ini bajet pilihanraya dan seharusnya diperhalusi dengan lebih baik, tapi tidak. Hanya RM7.66 bilion diperuntukan untuk Bumiputera dari peruntukan terbesar RM372.2 bilion. Seperti melukut di tepi gantang jadinya.
Di samping itu, gabungan harga harta tanah yang tinggi dan pemilikan kekayaan yang rendah mengakibatkan Bumiputera menjadi kelompok terbesar yang tidak memiliki aset kediaman.
Meskipun berlaku peningkatan dalam pemilikan kediaman oleh isi rumah Bumiputera iaitu daripada 72.7% pada tahun 2014 kepada 73.7% pada tahun 2019, namun ia masih berada di bawah purata nasional iaitu 76.9%.
Lupakah Kerajaan bahawa Bumiputera adalah kaum terbesar negara? Adakah hak dan keistimewaan Bumiputera yang telah diperjuangkan sekian lama hanya jadi bahan sorakan?
Lupakah kepada Perkara 153? Pada hakikatnya, kepentingan Perkara 153 perlu dilihat dari sudut sejarah kerana Raja-Raja Melayu dalam Perjanjian Negeri 1948 telah memberi komitmen kepada orang Melayu dalam bidang pendidikan, kemajuan ekonomi, kebajikan sosial dan penyertaan dalam perkhidmatan kerajaan.
Perkara 153 meletakkan kewajipan ke atas Yang di-Pertuan Agong, bukan sahaja untuk menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan anak-anak negeri, bahkan kepentingan sah kaum lain sebagai warga negara Malaysia.
Paling membimbangkan ahli politik ini tidak boleh membezakan antara bajet yang adil ataupun saksama kepada Bumiputera. Kesaksamaan apakah yang dimaksudkan jika Bumiputera dibiarkan dan dipinggirkan dalam negara sendiri? Bagaimana nak mencapai kesaksamaan jika Bumiputera tidak diberikan peluang dan kepercayaan yang sama?
Jadi di manakah kesaksamaan yang dilaung-laungkan?
Majoriti golongan B40 adalah Bumiputera dan kadar pengangguran Bumiputera semasa telah mengalami peningkatan terbesar dalam sejarah moden kita, terutamanya sejak permulaan COVID19.
Jurang sosioekonomi dari sudut pendapatan dan pengagihan kekayaan kekal sebagai cabaran utama bagi golongan Bumiputera. Bumiputera masih lagi merupakan kelompok termiskin, dengan kadar kemiskinan mutlak yang tinggi sebanyak 7.2% pada tahun 2019 berbanding kaum Cina (1.4%) dan kaum India (4.8%).
Ketidaksamaan purata pendapatan bulanan isi rumah antara Bumiputera dan kaum Cina meningkat hampir empat (4) kali ganda daripada RM497 pada tahun 1989 kepada RM1,971 pada tahun 2019. Ini merupakan statistik sebelum pandemik.
Dan kita semua maklum, pandemik telah mengubah seluruh lanskap ekonomi, dan jika tiada langkah afirmatif diambil, kita semakin menghampiri status ekonomi “Yang kaya, terus kaya dan yang miskin kekal melarat”.
Perkara ini turut disokong oleh data di peringkat negeri. Negeri-negeri dengan majoriti penduduk Bumiputera seperti Kelantan, Perak, Pahang, Perlis, Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak mempunyai lebih daripada 50% isi rumah kategori B40.
Jadi apa keadilan untuk kelompok ini?
Pilihanraya musim ini, Bumiputera tidak harus hadir hanya dalam teriakan manifesto mahupun dalam senarai raih undi sahaja. Perjuangan Bumiputera harus dimanifestasi lebih daripada itu. Kerana jika tidak, nama Bumiputera hanya kekal atas polisi. Dua peratus daripada jumlah peruntukan negara dalam Bajet 2023, adalah terlalu kecil.
Dan undi kali ini perlu diberi kepada yang benar-benar akan meletakkan keadilan kepada anak Bumiputera dan masa depan negara, pada tempatnya. – 17 Oktober, 2022.
*Farah Hani, pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen