PRESIDEN Armenia, Serzh Sargsyan, pada Khamis mengisytiharkan perjanjian damai antara Armenia dan Turki, yang dikenali sebagai “Protokol Zurich,” sebagai batal dan tidak sah, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan.
Sargsyan mengumumkan perkara itu semasa mesyuarat keselamatan nasional, kata jurucakap presiden kepada stesen televisyen Armenia, Yerkir Media.
Pada Oktober 2009, Armenia dan Turki menandatangani satu perjanjian bagi mewujudkan hubungan diplomatik di Zurich selepas bermusuh sejak berabad lamanya susulan pembunuhan beramai-ramai rakyat Armenia oleh Empayar Uthmaniah Turki semasa perang dunia pertama.
Bagaimanapun, Turki enggan meratifikasi perjanjian itu.
Sebelum ini, Sargsyan memaklumkan sesi ke-72 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September 2017 yang ia akan membatalkan perjanjian itu jika Turki tidak meluluskannya menjelang musim bunga 2018. – Bernama, 2 Mac, 2018.
Komen