Ringgit semakin merosot tanda kerajaan BN, Perikatan gagal


RINGGIT menyusut ke paras paling teruk dalam sejarah. Lebih membimbangkan ringgit merosot berbanding dua matawang milik rakan dagang terbesar negara iaitu Amerika Syarikat (AS) dan Singapura. 

Malangnya kerajaan BN-PN langsung tidak ada dasar atau mekanisme mengurangkan impak kejatuhan ringgit ke atas perbelanjaan rakyat dan kos perniagaan.

Pada 14 Oktober 2022 ringgit mencecah RM4.70 berbanding dolar AS. Ini rekod terburuk negara. Ringgit juga jatuh ke RM3.30 berbanding dolar Singapura iaitu paras paling teruk setakat ini.

Ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dahulu, ringgit kebiasaannya berada antara RM3.94 - RM4.20 berbanding dolar AS.

Ini antara sebab utama mengapa paras inflasi ketika pemerintahan PH adalah antara yang terendah dalam sejarah iaitu 0.2%. 

Berbanding zaman BN-PN, inflasi makanan melonjak teruk ke paras 7.2% yang menyebabkan inflasi negara sekarang mencecah kadar 4.7%.

Kesan kejatuhan ringgit ini cukup parah kepada ekonomi negara. Rakyat Malaysia pula turut akan terhimpit teruk memandangkan 60% makanan Malaysia diimport dari luar dan kos import makanan setakat 2021 mencecah RM64 bilion. 

Kesannya harga barang makanan akan terus naik dan ini menekan ekonomi rakyat termasuk golongan B40 dan M40. 

Gula-gula yang diumumkan dalam Belanjawan baru-baru ini tidak mampu meringankan beban rakyat terutama golongan miskin bandar.

Kerajaan BN-PN ibarat burung kakak tua terhadap respons kejatuhan ringgit. Hanya mengulangi alasan sama dengan menyalahkan faktor pasaran atas kejatuhan ringgit. 

Bukan sahaja enggan menjalankan kawalan modal, malah tiada juga dasar alternatif untuk mengurangkan impak kejatuhan ringgit.

Sepatutnya diumumkan pemberian subsidi sementara dan bersasar untuk import bahan asas seperti makanan dan sesetengah bahan input perniagaan; pemberian pinjaman modal kerja berkadar faedah 0% atau rendah untuk perusahaan kecil sederhana yang mengimport; meliberalisasi dasar import untuk mengurangkan kos; atau mencari negara import alternatif menerusi intervensi segera kerajaan.

Ringgit semakin jatuh, inflasi pula makin mencanak. Pembubaran Parlimen kononnya bagi membentuk kerajaan stabil gagal mendorong kenaikan pasaran ringgit. 

Ia satu tindakan Umno yang sia-sia. Jika BN-PN dipilih sekali lagi dalam PRU15, punahlah masa depan negara. 

Kalau Najib merosakkan negara dengan mencuri duit rakyat, pemimpin BN PN terutama Umno pula merosakkan ekonomi kerana pengurusan yang tidak cekap.

Berikutan kegagalan kerajaan BN-PN ini, rakyat harus menilai kemampuan mereka dalam membuat pilihan kali ini. 

Masa depan negara lima tahun ini tidak harus diletakkan kepada mereka yang gagal dan korup. 

PRU ke-15 ini adalah penentu masa depan kita. Rekod pemerintahan PH adalah sandaran rakyat bagi menyelesaikan isu ringgit dan inflasi negara yang mencanak. – 17 Oktober, 2022.

* Faiz Fadzil ialah Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen