Iran tuduh Biden cetus huru-hara protes


Keganasan di jalanan meletus sehingga mengakibatkan berpuluh-puluh maut, kebanyakan penunjuk perasaan serta dalam anggota pasukan keselamatan. – Gambar EPA, 17 Oktober, 2022.

PRESIDEN Iran Ebrahim Raisi mendakwa rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS) mengapi-apikan situasi sebagai cubaan untuk menghuru-harakan negara itu.

Presiden AS Joe Biden sebelum ini menyatakan sokongan terhadap protes susulan kematian Mahsa Amini dalam tahanan polis moral.

“Kenyataan presiden AS yang mencetuskan huru-hara, keganasan dan kemusnahan negara lain menjadi peringatan kepada kata-kata abadi pengasas republik Islam ini yang menggelar AS syaitan besar,” katanya yang merujuk kata-kata daripada Ayatollah Khomenei.

Beliau berkata plot yang dirangka musuh perlu ditentang dengan langkah berkesan untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Iran bergolak dengan protes susulan kematian Amini, 22, pada 16 September lalu iaitu tiga hari selepas wanita itu ditahan oleh polis moral negara terbabit atas dakwaan melanggar kod pemakaian untuk wanita.

Keganasan di jalanan meletus sehingga mengakibatkan berpuluh-puluh maut, kebanyakan penunjuk perasaan serta dalam anggota pasukan keselamatan.

Selain itu, ratusan peserta protes ditahan pihak berkuasa.

Jumaat lalu, Biden mengeluarkan kenyataan pihaknya berdiri bersama rakyat, wanita berani Iran.

Semalam, jurucakap Kementerian Luar Iran Nasser Kanani menyelar kenyataan Biden dengan menegaskan Iran terlalu kuat untuk dipengaruhi keinginan negara itu menerusi campur tangan seorang ahli politik yang bosan dengan kegagalan bertahun lamanya.

“Kami akan bersama-sama mempertahankan kemerdekaan Iran,” tulisnya di Instagram. – AFP, 17 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen