Korban kebakaran kelab malam Thailand meningkat kepada 25 orang


Angka kematian akibat kebakaran yang melanda sebuah kelab malam Thailand pada awal Ogos meningkat kepada 25 orang dengan lapan mangsa masih menerima rawatan perubatan, kata pegawai semalam. 

Kebakaran berlaku pada 5 Ogos di kelab malam Mountain B di wilayah Chonburi timur Thailand, kira-kira 150 kilometer (93 batu) tenggara Bangkok.

Pihak berkuasa menemui 13 mayat di tempat kejadian selepas kebakaran dan 12 lagi orang maut akibat kecederaan mereka sejak itu.

Pejabat perhubungan awam wilayah Chonburi berkata mangsa terbaru ialah seorang wanita yang meninggal dunia di hospital tempatan semalam. Media tempatan melaporkan mangsa berusia 26 tahun.

Lapan orang mangsa masih dirawat di lapan hospital berbeza dengan dua daripadanya menggunakan alat bantuan pernafasan, kata satu kenyataan.

Kira-kira 40 orang cedera dalam kebakaran itu di mana kesemua mereka dipercayai warga Thailand.

Pendekatan longgar Thailand terhadap peraturan kesihatan dan keselamatan khususnya di bar dan kelab malamnya sudah lama menimbulkan kebimbangan.

Kebakaran besar melanda pesta Malam Tahun Baru di kelab Santika yang megah di Bangkok pada 2009 membunuh 67 orang dan mencederakan lebih 200 orang. – AFP, 17 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen