SEORANG pegawai polis didakwa semalam atas kejadian menembak maut seorang lelaki yang enggan berhenti di pemeriksaan lalu lintas, kematian ke-12 seumpama itu di Perancis tahun ini.
Pegawai itu dibawa ke hadapan majistret penyiasat yang mendakwanya atas kes tembakan pada Jumaat, kata sumber yang rapat dengan kes itu.
Dia didakwa melakukan keganasan yang membawa kepada kematian bukan dengan sengaja membunuh mangsa.
Berikutan cadangan pejabat pendakwa raya dia diikat jamin dan dilarang mengakses senjata api dan daripada terus bekerja sebagai pegawai polis, tambah sumber itu. Peguamnya enggan mengulas.
Dalam kejadian pada Jumaat dua pegawai polis Paris melepaskan tembakan ke arah kenderaan enggan berhenti ketika mereka menghampirinya.
“Satu daripada tiga das tembakan mengenai pemandu,” kata sumber itu.
Pegawai kedua, 31, yang turut ditahan berhubung kejadian tembakan itu dibebaskan dan pada peringkat ini tiada pertuduhan terhadapnya.
Pada tahun ini seramai 12 orang ditembak mati oleh polis ketika mereka cuba melarikan diri dari kawalan lalu lintas. – AFP, 17 Oktober, 2022.
Komen