LEBIH 600 kini dilaporkan terkoban dalam banjir terburuk di Nigeria, menurut laporan yang dikeluarkan semalam.
Bencana itu juga memaksa lebih 1.3 juta penduduk meninggalkan rumah mereka, kata satu kenyataan oleh Kementerian Hal Ehwal Kemanusiaan Nigeria yang dikeluarkan di Twitter.
“Malangnya lebih 603 nyawa terkorban setakat hari ini (16 Oktober 2022),” kata Menteri Hal Ehwal Kemanusiaan Sadiya Umar Farouq.
Sejak minggu lepas jumlah korban ialah 500 tetapi jumlah itu meningkat sebahagiannya kerana beberapa kerajaan negeri tidak bersedia menghadapi banjir, kata menteri itu.
Banjir itu turut memusnahkan sepenuhnya lebih 82,000 rumah dan hampir 110,000 hektar tanah ladang, kata Umar Farouq.
Walaupun musim hujan biasanya bermula sekitar Jun, hujan lebat sejak Ogos, kata Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMA).
Pada 2012 seramai 363 orang maut dan lebih 2.1 juta orang kehilangan tempat tinggal akibat banjir.
Afrika terjejas secara tidak seimbang oleh perubahan iklim dan banyak ekonominya sudah bergelut akibat kesan perang Russia-Ukraine.
Pengeluar beras memberi amaran banjir yang dahsyat boleh menjejaskan harga di negara yang mempunyai kira-kira 200 juta penduduk di mana import beras diharamkan untuk merangsang pengeluaran tempatan.
Program Makanan Sedunia dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB berkata bulan lalu Nigeria adalah antara enam negara yang berdepan risiko tinggi tahap kelaparan yang teruk. – AFP, 17 Oktober, 2022.
Komen