LEMBAGA tatatertib akan membincangkan kes guru sekolah Mohd Fadli Mohamed Salleh yang menularkan di media sosial isu bebanan dihadapi pelajar dan guru, menurut Kementerian Pendidikan.
Ketua Pengarah Pelajaran Pkharuddin Ghazali dalam kenyataannya berkata penjelasan daripada guru tersebut juga sudah diterima sejak Jumaat lalu.
“Prosiding tatatertib ini dibuat di bawah peraturan-peraturan pegawai awam kelakuan dan tatatertib 1993.
“Ianya diguna pakai untuk semua penjawat awam yang sedang berkhidmat termasuklah diri saya sendiri,” katanya lagi.
Beliau juga menjelaskan, surat kementerian yang turut ditularkan Mohd Fadli itu hanya untuk mengemukakan penjelasan dan tidak bermaksud hukuman sudahpun dijatuhkan ke atasnya.
“Sebaliknya surat tersebut memaklumkan cikgu berkenaan mengenai dakwaan yang diterima oleh pihak berkuasa tatatertib serta keperluan Cikgu Fadli mengemukakan penjelasan bertulis.”
Surat yang disiarkan Mohd Fadli menyebut guru tersebut berdepan tindakan buang kerja atau turun pangkat atas perbuatannya.
Mohd Fadli semalam menyebut, surat kementerian bertarikh 22 September itu mendesak penjelasan ke atas coretannya di media sosial bertarikh 26 November.
Jelasnya, beliau dalam coretan itu menyebut mengenai masalah beg berat pelajar dan juga sukatan pelajaran yang menurutnya tinggi, padat dan juga disifatkannya “syok sendiri”.
Selain itu, Mohd Fadli turut meluah kekecewaan mengenai kepadatan pelajar dalam kelas, jumlah mata pelajaran yang banyak dan waktu belajar Matematik yang singkat
Tambahnya, beliau juga menyebut mengenai sikap pegawai pendidikan yang menyebabkan sistem pendidikan rosak. – 16 Oktober, 2022.
Komen