Iran kecam ‘campur tangan’ Biden dalam tunjuk perasaan


Presiden AS Joe Biden pada Jumaat berkata, negara itu akan berdiri bersama rakyat dan wanita Iran yang berani. – Gambar EPA, 16 Oktober, 2022.

IRAN mengecam “campur tangan” Presiden AS Joe Biden dalam protes sebulan lalu sejak kematian Mahsa Amini ketika dalam tahanan polis sahsiah.

“Iran terlalu kuat untuk terpengaruh dengan campur tangan… oleh seorang ahli politik yang bosan dengan kegagalan bertahun-tahun,” tulis jurucakap hal ehwal luar negara, Nasser Kanani di Instagram.

“Kami akan bersama-sama mempertahankan kemerdekaan Iran.”

Biden berkata: “Kami berdiri bersama rakyat, wanita Iran yang berani.

“Ia mengejutkan saya apa yang dibangkitkan di Iran. Ia membangkitkan sesuatu yang saya tidak fikir akan disenyapkan untuk masa yang lama,” kata presiden AS itu.

Iran digemparkan dengan bantahan sejak kematian Amini yang berusia 22 tahun pada 16 September lalu, tiga hari selepas ditangkap polis sahsiah di Tehran kerana didakwa melanggar kod berhijab negara itu.

Protes jalanan menyebabkan berpuluh-puluh kematian, kebanyakannya dalam kalangan penunjuk perasaan tetapi juga dalam kalangan pasukan keselamatan, dan ratusan penunjuk perasaan ditangkap.

Pada 6 Oktober, Amerika Syarikat mengenakan sekatan terhadap tujuh pegawai kanan Iran kerana terlibat dalam tindakan keras itu.

Perbendaharaan AS bulan lalu juga mengenakan sekatan ke atas polis sahsiah. – AFP, 16 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen