.jpg)
DALAM satu laporan media oleh Astro Awani pada 13 Oktober 2022, Perdana Menteri sementara Ismail Sabri Yaakob mendakwa kemungkinan terdapat kecuaian dan kekhilafan Dr Mahathir Mohamad apabila Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan penghakiman ICJ pada 2008.
Berdasarkan laporan ini, saya mendesak perdana menteri sementara untuk membuat satu laporan polis dan mengemukakan bukti atas dakwaan beliau ini. Saya percaya beliau selaku PM sementara mempunyai maklumat yang mencukupi atas dakwaan itu.
Namun, jika beliau gagal membuat laporan polis maka PM sementara harus menarik semula kenyataan ini dan memohon maaf secara terbuka kepada Dr Mahathir.
Kegagalan PM sementara membuat salah satu dari desakan ini menunjukkan beliau telah menfitnah Dr Mahathir secara terbuka. Sebagai pemfitnah, beliau boleh berhadapan dengan saman fitnah dan ini amat mengaibkan status beliau sebagai bekas perdana menteri.
Implikasi daripada keadaan ini akan menunjukkan bahawa PM sementara berniat jahat dan menggunakan laporan siasatan kes Pulau Batu Puteh sebagai kempen politik berunsur fitnah.
SPR harus menyiasat kempen fitnah ini kerana ia dibuat selepas pembubaran parlimen. Jika terbukti ia suatu fitnah maka kelayakan PM sementara sebagai calon pilihan raya akan terjejas.
Pada masa yang sama, saya juga mendesak agar laporan yang telah siap hendaklah didedahkan kepada umum secara telus agar semua kemelut dapat dileraikan demi kebaikan negara.
Saya ingin mengulangi desakan agar PM sementara segera membuat laporan polis dengan mengemukakan segala bukti dakwaan tersebut dalam tempoh 24 jam.
Jika gagal berbuat demikian, beliau harus menuntut maaf secara terbuka atas dakwaan liar tersebut. – 16 Oktober, 2022.
*Mahdzir Ibrahim timbalan ketua penerangan GTA
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen
Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh DENGKI KE? · Ulasan