Banjir kilat di Greece ragut 2 nyawa


Banjir kilat mengakibatkan beberapa kereta dihanyutkan ke laut di sepanjang pantai resort tepi laut Agia Pelagia, dengan beberapa kereta hampir tenggelam sepenuhnya di dalam air yang dikelilingi serpihan. – Gambar EPA, 16 Oktober, 2022.

DUA penduduk terkorban akibat banjir kilat susulan hujan lebat yang melanda kepulauan Crete di Greece, lapor anggota bomba, hari ini.

Hujan mula turun pada pagi semalam di kepulauan selatan negara itu, destinasi percutian popular, yang turut melanda wilayah Heraklion.

Menurut anggota bomba Greece, mayat seorang wanita berusia 49 tahun ditemui di dalam laut hari ini, menjadikan jumlah korban akibat banjir itu kepada dua orang.

Semalam, seorang lelaki berusia 50-an ditemui mati selepas terperangkap di dalam keretanya ketika hujan lebat.

Kedua-dua individu itu akan ke Heraklion untuk bekerja, lapor televisyen tempatan Greek ERT.

Individu kedua yang hilang ditemui dalam keadaan hidup pada petang Sabtu.

Hujan memaksa pemindahan beberapa isi rumah dan menyebabkan kerosakan besar di perkampungan tepi laut, di mana jalan-jalan menjadi sungai yang menghanyutkan segala-galanya, lapor media tempatan.

Banjir kilat mengakibatkan beberapa kereta dhanyutkan ke laut di sepanjang pantai resort tepi laut Agia Pelagia, dengan beberapa kereta hampir tenggelam sepenuhnya di dalam air yang dikelilingi serpihan.

Pantai itu dipenuhi dengan sampah termasuk botol plastik dan mainan serta payung jerami.

Banjir itu turut merosakkan lebih 15 kedai, terutamanya restoran mewah, di Agia Pelagia, yang popular dengan pengunjung berada.

Menurut Jabatan Pertahanan Awam, aset sudah digerakkan dan meminta semua rakyat berwaspada pada hari ini di Crete dan pulau-pulau sekitar Rhodes, Karpathos, Kastellorizo ​​dan Kasos. – AFP, 16 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen