DUA pemimpin masyarakat Rohingya di Bangladesh maut ditetak sekumpulan lelaki, kata polis hari ini ketika tahap keselamatan kem yang menempatkan hampir sejuta pelarian semakin teruk.
Bangladesh menempatkan pelarian Rohingya di kem yang luas sejak mereka melarikan diri kekejaman tentera di Myanmar pada 2017 yang kini menjadi subjek penyiasatan pembunuhan beramai-ramai di mahkamah tertinggi PBB.
Penempatan itu menyaksikan keganasan yang semakin meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan kumpulan kongsi gelap cuba merampas kawalan ke atas pengedaran dadah dan menakutkan kepimpinan awam pelarian melalui pembunuhan dan penculikan.
Jurucakap polis, Faruk Ahmed berkata, dua pemimpin kem Rohingya terbunuh lewat semalam di Kem 13.
Beliau menyifatkannya sebagai salah satu serangan terburuk dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
“Puluhan penjenayah Rohingya menetak Maulvi Mohammad Yunus, 38, yang merupakan ketua majhi di Kem 13. Mereka turut membunuh Mohammad Anwar, 38, seorang lagi majhi. Yunus meninggal dunia di tempat kejadian dan Amwar meninggal dunia di hospital,” katanya.
“Majhi” adalah gelaran kepada ketua kem Rohingya.
Seorang pegawai kanan unit polis elit yang ditugaskan memantau keselamatan di kem-kem tersebut mendakwa Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA), sebuah kumpulan pemberontak yang memerangi tentera di Myanmar bertanggungjawab ke atas pembunuhan itu.
“Ini adalah pembunuhan didalangi ARSA. Pertempuran dalaman di Myanmar memberi kesan kepada keadaan keselamatan di kem-kem,” katanya yang enggan namanya didedahkan untuk membincangkan maklumat sensitif.
Geng berkenaan lama berperang untuk mengawal perdagangan dadah, tertumpu kepada pil methamphetamine yaba, tetapi ketua polis daerah Bangladesh Cox’s Bazar berkata terdapat peningkatan yang berlaku.
“Dalam tiga bulan lepas sahaja, sekurang-kurangnya 14 Rohingya dibunuh di kem. Jumlah pembunuhan di kem itu meningkat berbanding tahun lalu,” kata Mahfuzul Islam kepada AFP. – AFP, 16 Oktober, 2022.
Komen