SERANGAN “pengganas” pada Sabtu ke atas tapak latihan tentera Rusia di wilayah Belgorod bersempadan dengan Ukraine menyebabkan 11 maut dan mencederakan 15 yang lain, kata Kementerian Pertahanan.
Kementerian, dipetik agensi berita Rusia, berkata serangan berlaku ketika sesi latihan untuk sukarelawan bagi “operasi ketenteraan khas” di Ukraine yang dilancarkan Moscow pada hujung Februari lalu.
“Pada 15 Oktober, dua warga negara CIS melakukan tindakan keganasan di padang sasar tentera di daerah barat wilayah Belgorod,” kata kementerian.
“Kesannya, 11 terbunuh. 15 yang lain cedera dan dibawa ke pusat perubatan,” katanya lagi, menambah yang dua penyerang “terbunuh ketika berbalas tembakan”.
CIS atau Komonwel Negara Bebas, dibentuk antara republik yang pernah menjadi sebahagian daripada Kesatuan Soviet.
Ini adalah kejadian terbaru yang berlaku di Belgorod, yang terletak berhampiran sempadan Ukraine.
Pada awal hari Sabtu, Vyacheslav Gladkov, gabenor wilayah itu berkata depoh minyak terbakar selepas diserang. Beliau menunjukkan bukti bergambar kebakaran yang berlaku.
Minggu lepas Rusia mengadu berlakunya pertambahan serangan peluru berpandu di wilayahnya berhampiran Ukraine.
Dan pada Jumaat, pihak berkuasa berkata Ukraine menyerang dan membakar stesen jana kuasa di wilayah tengah, juga dikenali sebagai Belgorod, yang menyebabkan bekalan kuasa terputus.
Ini berlaku selepas roket meletup di tingkat atas sebuah apartmen di bandar Belgorod, tiada kecederaan dilaporkan.
Sebuah depoh senjata api turut musnah pada Khamis.
Awal minggu ini, pegawai Rusia berkata serangan dilancar Ukraine memutuskan bekalan di bandar Shebekino di wilayah sama, membunuh seorang wanita berusia 76 tahun dan mencederakan beberapa yang lain.
Lebih 200,000 orang dikerah menjadi tentera Rusia sejak pengumuman kerahan tenaga separa pada 21 September.
Pengumuman itu mencetuskan protes dan serangan ke atas beberapa pegawai rekrut tentera. – AFP, 16 Oktober, 2022.
Komen