LEBIH 50 juta pengguna aplikasi mesej telefon bimbit terbesar Korea Selatan, KakaoTalk, mengalami gangguan perkhidmatan selepas kebakaran berlaku di pusat data, memaksa syarikat mengeluarkan permohonan maaf dan desakan pelan pencegahan daripada kerajaan pada Ahad.
Aplikasi mesej Kakao dimuat turun hampir 90% pengguna telefon bimbit Korea Selatan dan digunakan secara meluas- termasuk peta, bayaran atas talian, e-seru, strim dan permainan video- menjadikan ia satu keperluan harian kepada jutaan penduduk negara itu.
Pelayan Kakao masih tidak berfungsi sepanjang Sabtu selepas kebakaran tercetus di bangunan SK C&C di Pangyo, selatan Seoul, yang menempatkan pelayan syarikat itu.
Kebakaran itu menyebabkan beberapa perkhidmatan tergendala termasuklah kegagalan menghantar mesej dan log masuk, kata syarikat, dengan kerosakan dijangka berlaku hingga ke Ahad.
“Kami menundukkan kepala dan ikhlas meminta maaf kepada semua pengguna yang mengalami ketidakselesaan disebabkan gangguan perkhidmatan Kakao,” kata syarikat dalam kenyataan dikeluarkan pada Sabtu.
“Kakao sedang berusaha memulakan kembali perkhidmatan secepat mungkin dan berjanji akan menyiasat secara terperinci punca kejadian dan mengambil langkah terbaik untuk mengelaknya daripada berulang,” katanya.
Kakao ditubuhkan pada 2010 dan perkhidmatan mesejnya digunakan 53 juta pengguna secara global, menurut pemfailan pada Ogos.
Kegagalan fungsi itu menjadi ancaman besar kepada Korea Selatan yang bermatlamat menjadi pendahulu masyarakat dan negara pintar.
Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol meminta siasatan punca kejadian dibuat serta rancangan mengelak kejadian serupa pada masa hadapan.
Tiada kecederaan atau kematian disebabkan kebakaran itu, menurut agensi berita Yonhap. – AFP, 16 Oktober, 2022.
Komen