TENTERA AS dan Kanada pada Sabtu menghantar peralatan keselamatan ke Haiti termasuk kenderaan berperisai bagi membantu negara Caribbean itu berdepan krisis keselamatan dan kesihatan, umum Washington dan Ottawa.
Permohonan untuk bantuan ke Haiti dibuat ketika epidemik taun dan keganasan kumpulan jenayah bertambah buruk di negara itu, termasuk di terminal import minyak terbesar di negara itu.
Pesawat tentera udara AS dan Kanada mendarat di Port-au-Prince membawa “peralatan keselamatan penting dibeli kerajaan termasuk kenderaan taktikal berperisai,” kata kenyataan bersama dikeluarkan dua kerajaan.
Peralatan itu akan membantu polis berdepan “penjenayah yang melakukan keganasan dan menganggu pergerakan bantuan kemanusiaan seterusnya menghalang usaha mengekang penyebaran taun,” katanya lagi.
AS dan Kanada juga berkata mereka merancang membantu Haiti menambah baik latihan polis Haiti.
Seorang diplomat kanan AS dan seorang pegawai tentera melawat ibu kota Haiti minggu ini untuk menunjukkan sokongan.
Tetapi Washington mengulangi pendiriannya untuk tidak menghantar tentera ke Haiti, negara termiskin di rantau berkenaan.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mendesak negara ahli untuk menghantar “pasukan keselamatan” ke Haiti untuk menangani “krisis keselamatan parah”.
Laporan PBB pada Jumaat berkata 60% Port-au-Prince atau 1.5 juta penduduk kini berada dalam kawalan kumpulan jenayah, dengan laporan berkata banyak kes serangan seksual berlaku.
Protes dan rompakan kerap berlaku di negara itu sejak 11 September, hari kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak.
Sejak pertengahan September, terminal import minyak terbesar, di Varreux, juga ditawan kumpulan penjenayah.
Minggu lepas, PBB memberi amaran risiko penularan kes taun di Haiti, dengan 32 kes dan 224 kes disyaki setakat 8 Oktober, menurut Organisasi Kesihatan Dunia, kes pertama di negara itu sejak tiga tahun lalu.
Hampir 10,000 terbunuh pada epidemik taun di Haiti antara 2010 dan 2019.
Haiti juga terheret ke krisis politik dan ekonomi bertahun-tahun lamanya sebelum pembunuhan Presiden Jovenel Moise pada 2021 memburukkan keadaan, dengan kumpulan jenayah terancang menjadi semakin berkuasa. – AFP, 16 Oktober, 2022.
Komen