2 lagi rakyat Palestin cedera parah ditembak tentera Israel


Keganasan terbaru di Palestin berlaku susulan serbuan tentera Israel di Jenin, Jumaat lalu yang menyebabkan dua warga Palestin terbunuh. – Gambar AFP, 16 Oktober, 2022.

DUA warga Palestin cedera parah selepas ditembak tentera Israel di utara Tebing Barat, susulan ketegangan semakin memuncak di wilayah yang diceroboh itu.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata seorang warga Palestin ditembak dengan peluru hidup di dada ketika pertempuran dengan tentera Israel di kampung Qarawat Bani Hassan di barat daya Nablus.

Seorang lagi warga Palestin turut cedera teruk, dengan kedua-duanya dikejarkan ke hospital di bandar Salfit.

Tentera Israel dalam satu kenyataan mendakwa, suspek melontar batu ke arah tentera yang bertindak balas terhadap “rusuhan ganas” berhampiran Qarawat Bani Hassan.

Katanya, anggota tentera Israel menggunakan tembakan peluru hidup untuk menghentikan suspek dan mengesahkan tembakan mengenai sasaran.

Keganasan terbaru itu berlaku susulan serbuan tentera Israel di Jenin, Jumaat lalu yang menyebabkan dua warga Palestin terbunuh.

Beberapa jam kemudian, tentera Israel membunuh seorang lagi warga Palestin, Qais Shajaeyah, 23, yang didakwa melepaskan tembakan ke arah penempatan Beit El di Tebing Barat, yang mencederakan seorang penduduk.

Dalam kenyataan semalam, tentera Israel turut mengesahkan menahan suspek kedua yang terbabit dalam insiden serangan di penempatan Beit El, iaitu Muhammad Odeh, 19.

Odeh yang didakwa sebagai anggota Hamas, ditahan bersama dua lagi suspek, yang turut disyaki terbabit dalam serangan berkenaan. – AFP, 16 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen