Lelaki disyaki pembunuh bersiri ditahan di California


POLIS di bandar tengah California, Stockton, semalam menahan seorang lelaki berusia 43 tahun yang dikaitkan dengan siri pembunuhan melibatkan lima lelaki tahun ini dan seorang pada 2021 yang menggemparkan masyarakat di situ.

Wesley Brownlee ditahan awal pagi semalam ketika “memburu” bakal mangsa, kata Ketua Polis Stanley McFadden pada sidang media.

“Dia dalam misi untuk membunuh,” kata McFadden, menambah yang Brownlee membawa senjata api ketika ditahan.

“Kami pasti kami sudah menghalang satu lagi pembunuhan.”

Lima lelaki dibunuh di kawasan Stockton antara 8 Julai hingga 27 September. Seorang lagi dibunuh di Oakland, hampir 80km jauhnya pada April 2021. Kesemuanya mempunyai corak kematian yang sama.

Mangsa berusia antara 21 hingga 54 tahun.

Seorang lagi wanita yang ditembak selamat, juga dikaitkan dengan Brownlee.

Penyiasat masih menyiasat punca kejadian.

Stockton, bandar dengan penduduk 350,000 orang, terletak 60km di selatan ibu bandar California, Sacramento.

Brownlee dijangka hadir di mahkamah untuk proses penghakiman pada Selasa, kata Peguam Daerah San Joaquin Tori Verber Salazar, menambah pejabatnya sedang menyemak bukti bagi menentukan pertuduhan. – AFP, 16 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen