11 maut ditembak di kem tentera Russia


Bulan lalu, Presiden Russia Vladimir Putin mengarahkan mobilisasi 300,000 warga Russia yang pernah menjalani perkhidmatan ketenteraan mandatori ke medan perang. – Gambar fail AFP, 16 Oktober, 2022.

DUA penembak dari bekas negara Soviet menyerang satu kawasan latihan tentera dan membunuh 11 individu yang menawarkan diri untuk bertempur di Ukraine, selain mencederakan 15 yang lain, kata Russia.

Kementerian Pertahanan Russia mendakwa serangan di wilayah Belgorod yang bersempadan dengan Ukraine itu, berlaku ketika sesi latihan senjata api, sebelum kedua-dua perang dibunuh dalam serangan balas.

“Pada 15 Oktober, dua rakyat Negara-Negara Merdeka Komanwel (CIS) melakukan tindakan keganasan di padang latihan daerah tentera di wilayah Belgorod.

“Serangan itu menyebabkan 11 individu maut. Sejumlah 15 lagi individu mengalami pelbagai kecederaan dan dibawa ke fasiliti perubatan,” lapor media tempatan memetik Kementerian Pertahanan Russia.

CIS adalah pakatan yang dibentuk dalam kalangan negara republik yang pernah menjadi sebahagian Kesatuan Soviet.

Russia melancarkan operasi ketenteraan khas dengan menceroboh Ukraine pada hujung Februari.

Bulan lalu, Presiden Russia Vladimir Putin mengarahkan mobilisasi 300,000 warga Russia yang pernah menjalani perkhidmatan ketenteraan mandatori ke medan perang.

Sejak arahan pada 21 September itu, seramai 200,000 penduduk Russia diserap masuk ke dalam angkatan tentera Russia, dengan ramai melancarkan protes menentang arahan berkenaan, yang turut mencetuskan beberapa siri serangan terhadap pegawai rekrut.

Dalam perkembangan berasingan, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky semalam memaklumkan tenteranya berdepan situasi paling mencabar di bandar Bakhmut, yang diserang tentera Russia sejak beberapa minggu lalu.

Ukraine merampas kembali beberapa kawasannya di timur dan selatan negara itu, yang diceroboh Ukraine sejak beberapa bulan lalu, namun kini berdepan cabaran di beberapa kawasan. – AFP, 16 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen