Penjara di Iran terbakar susulan protes kematian Mahsa Amini


Mahsa Amini, 22, maut pada 16 September lalu, tiga hari selepas koma susulan ditahan polis moral Iran atas dakwaan melanggar kod berpakaian untuk wanita. – Gambar EPA, 16 Oktober, 2022.

KEBAKARAN dan tembakan mencetuskan kekecohan di penjara Evin semalam, ketika gerakan protes susulan kematian Mahsa Amini ketika dalam tahanan memasuki minggu kelima.

Api dan kepulan asap dilihat menjulang ke udara, selain bunyi tembakan senjata api jelas kedengaran dalam rakaman video yang dikongsikan kumpulan hak asasi berpusat di Oslo, Hak Asasi Manusia Iran menerusi Twitter.

Saluran Twitter 1500tasvir yang memantau protes dan keganasan polis pula mendakwa, kebakaran berlaku di penjara Evin dan bunyi letupan kedengaran daripada bangunan berkenaan.

Penunjuk perasaan yang berang sekali lagi memenuhi jalan raya di seluruh Iran semalam meskipun kerajaan menyekat talian internet, ketika gerakan protes yang dicetuskan oleh kematian Amini ketika dalam tahanan pihak berkuasa, berlanjutan sejak lima minggu lalu.

Remaja perempuan berusia 22 tahun itu maut pada 16 September lalu, tiga hari selepas koma susulan ditahan oleh polis moral Iran atas dakwaan melanggar kod berpakaian untuk wanita.

Golongan wanita muda menjadi antara penggerak utama dalam gelombang terbesar protes jalanan di negara itu sejak beberapa tahun lalu.

“Senjata api, kereta kebal, bunga api, mullah perlu disingkirkan,” laung wanita tanpa hijab ketika berhimpun di Kolej Teknikal dan Vokasional Shariati di Tehran, dalam satu video yang tular di media sosial.

Sekumpulan penunjuk perasaan pula melontarkan barangan ke arah pasukan keselamatan berhampiran bulatan utama di bandar Hamedan di barat Tehran.

1500tasvir mendakwa sejumlah peniaga melancarkan mogok di Saqez, iaitu tempat kelahiran Amini di wilayah Kurdistan, selain di Mahabad di Azerbaijan Barat.

Sebelum ini, seorang wartawan akhbar Shargh melaporkan beberapa pihak menggesa pesara Pengawal Revolusi Iran untuk bersidang semalam susulan situasi sensitif ketika ini. – AFP, 16 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen