GABENOR California pada Jumaat membatalkan parol pengikut ketua kumpulan ajaran sesat dan pembunuh Charles Manson, Patricia Krenwinkel yang disabitkan bersalah kerana terlibat dalam pembunuhan pelakon Sharon Tate dan enam yang lain pada 1969.
Ini kali ke-15 permohonan parol Krenwinkel ditolak.
Lembaga Parol California mendapati Krenwinkel layak untuk dibebaskan pada Mei, tetapi di bawah undang-undang negeri gabenor mempunyai kuasa veto untuk menolak.
Gabenor California Gavin Newsom berkata beliau menolak permohonan parol Krenwinkel kerana wanita itu memainkan peranan penting dalam keganasan dan pembunuhan yang dilakukan kumpulan ajaran sesat ‘The Manson Family’ yang diketuai Manson.
Manson, pembunuh yang terkenal di Amerika Syarikat (AS) kerana kekejamannya, meninggal dunia ketika sedang menjalani hukuman pada 2017.
Manson dan empat pengikutnya dijatuhi hukuman mati pada 1971 selepas disabitkan bersalah membunuh tujuh individu termasuk Tate, yang juga isteri kepada pengarah dan penerbit filem Roman Polanski.
Tate sedang sarat mengandung ketika dibunuh pada Ogos 1969.
Mansor menubuhkan The Manson Family sekitar 1960-an di Death Valley di California. – AFP, 15 Oktober, 2022.
Komen