SEORANG pembikin filem Iran berkata republik Islam itu melarangnya pergi ke Festival Filem London atas sokongannya terhadap gerakan protes yang tercetus selepas kematian Mahsa Amini yang digelarnya sebagai “waktu paling hebat dalam sejarah”.
“Saya telah dihalang oleh pihak berkuasa Iran daripada menaiki penerbangan saya ke London pada Jumaat,” kata Mani Haghighi dalam mesej video kepada pengunjung festival yang diciap di Twitter oleh Institut Filem British (BFI).
“Mereka tidak memberi saya penjelasan yang munasabah.”
Kemarahan terhadap kematian Amini pada 16 September, tiga hari selepas beliau ditangkap polis moral Iran, telah mencetuskan gelombang protes jalanan dan keganasan terbesar di negara itu sejak bertahun-tahun.
Sebagai tindak balas, pasukan keselamatan Iran melancarkan tindakan kejam yang telah meragut nyawa berpuluh-puluh penunjuk perasaan serta kempen penangkapan besar-besaran artis, penentang, wartawan dan bintang sukan.
BFI berkata Haghighi sepatutnya menghadiri Festival Filem London untuk filem terbarunya “Subtraction”, tetapi pihak berkuasa Iran “merampas pasportnya, jadi beliau tidak dapat hadir.”
Dalam mesej video itu, pengarah, penulis dan pelakon Iran berusia 53 tahun itu berkata beliau percaya pihak berkuasa telah menghalangnya daripada ke luar negara atas sokongannya terhadap gerakan protes Amini.
“Beberapa minggu lalu saya merakam video Instagram di mana saya mengkritik undang-undang wajib pemakaian hijab Iran dan tindakan keras terhadap belia yang memprotesnya selain banyak lagi ketidakadilan dalam hidup mereka.
“Mungkin pihak berkuasa fikir dengan menahan saya di sini mereka boleh mengawasi saya dengan lebih dekat, mungkin untuk mengugut dan menutup mulut saya.
“Nah, fakta yang saya bercakap dengan anda sekarang dalam video ini menjejaskan rancangan itu,” katanya.
Bagaimanapun Haghighi berkata beliau tidak menyesal kerana terpaksa tinggal di Iran sebagai “banduan” di negaranya sendiri.
“Izinkan saya memberitahu anda, berada di sini di Tehran sekarang adalah salah satu kegembiraan terbesar dalam hidup saya.
“Saya tidak dapat menggambarkan kegembiraan dan penghormatan kerana dapat menyaksikan sendiri detik hebat dalam sejarah ini dan saya lebih suka berada di sini daripada di tempat lain sekarang.
“Jadi, jika ini adalah hukuman atas apa yang saya lakukan, maka dengan segala cara, sila teruskan.” – AFP, 15 Oktober, 2022.
Komen