.jpg)
Sejarah politik Kelantan menunjukkan bahawa Umno dan BN pernah menerajui kerajaan negeri dari 1978 hingga 1990.
Tetapi semasa kemuncak pergaduhan dalaman parti Umno pada 1988, apabila Tengku Razaleigh kalah dalam pertandingan jawatan presiden kepada Dr Mahathir, Umno berpecah.
Pada tahun berikutnya apabila PRU8 diadakan, PAS berganding bahu bersama parti baru Semangat46, yang ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh.
Mereka dengan mudah berjaya menumbangkan kerajaan Umno/BN di Kelantan dengan satu keputusan yang amat malang kepada Umno/BN dan di luar jangkaan ramai pemerhati.
Ketika memerintah Kelantan sebelum PRU8, Umno/BN mempunyai 29 kerusi DUN berbanding PAS yang ada cuma 10 kerusi.
Bagi kerusi parlimen pula, Umno/BN menguasai 12 kerusi manakala PAS mempunyai cuma satu kerusi sahaja.
Keputusan PRU8 memberi kemenangan di semua kerusi DUN dan parlimen di Kelantan kepada PAS/Semangat46.
Tidak ada satu kerusi pun yang dapat Umno/BN bertahan, semua kalah. Kosong.
Nik Aziz
Dari situlah munculnya Nik Aziz Nik Mat (pertama kali menang di kerusi N04, Semut Api pada tahun 1985) dan menonjolkan beliau sebagai Menteri Besar Kelantan yang baru, sehinggalah beliau meninggal dunia pada Februari, 2015.
Kesederhanaan watak dan politik Nik Aziz memberi tamparan hebat kepada Umno, selama tiga dekad.
Selepas kekalahan paling teruk itu, kerajaan pusat yang diterajui oleh Umno/BN dan Dr Mahathir sebagai PM, bersikap bermusuhan dan meminggirkan Kelantan, bukan saja di arena politik tetapi juga di arus pembangunan.
Sangat sedikit belanjawan pembangunan yang diberikan kepada Kelantan dan segala jenis pembangunan dan projek kerajaan persekutuan dibeku terus-menerus, termasuk imbuhan atau royalti minyak dan gas.
Selama lebih dari 30 tahun, Kelantan dianggap seperti musuh utama kepada kerajaan persekutuan yang ditunggangi Umno.
Krisis Anwar-Dr Mahathir
Di tambah pula pada tahun 1998, apabila krisis politik antara Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir berlaku.
Ini menjadikan PRU10 pada tahun 1999, sebagai satu lagi kayu pengukur terhadap perebutan kuasa antara PAS dan Umno.
Umno bukan hanya kalah teruk di Kelantan, tetapi juga di Terengganu dengan PAS menguasai 28 kerusi dari jumlah 32 kerusi Adun.
Tujuh dari lapan kerusi parlimen Terengganu jatuh ke tangan PAS dan baki satu lagi ke tangan PKR, parti baru yang dibentuk oleh Anwar Ibrahim.
Krisis dalaman Umno, banyak membuka peluang kepada PAS untuk dipilih oleh pengundi-pengundi Melayu di Terengganu dan Kelantan.
Di Kedah juga, PAS berjaya bertapak dengan lebih gagah, memenangi 12 dari 36 kerusi Adun, serta 8 dari 15 kerusi parlimen.
Buat pertama kalinya, Umno tidak mempunyai kerusi parlimen di Terengganu dan Kelantan.
Sementara itu, PAS mencatat sejarah mendapat 27 kerusi parlimen, jumlah terbanyak dalam hayat parti.
Inilah fakta-fakta sejarah yang bisa berulang kembali di tiga negeri di mana penduduknya adalah majoriti Melayu.
Beza persepsi dan realiti
Pada masa sekarang, kedudukan kerusi Adun dan parlimen di tiga negeri tersebut tidak banyak memihak kepada Umno.
Di Kedah Umno/BN memiliki cuma 3/36 dari jumlah kerusi Adun dan 2/15 kerusi parlimen.
Di Kelantan pula kedudukannya ialah Umno/BN 8/45 kerusi Adun dan 3/14 kerusi parlimen.
Di Terengganu, 10/32 kerusi Adun dan 1/8 kerusi parlimen.
Jumlah pemilikan kerusi Umno/BN untuk tiga negeri yang ramai pengundi Melayu ini, ialah 6/37 untuk parlimen atau 16 peratus, sementara kerusi Adun ialah 21/115 atau 18 peratus sahaja.
Perangkaan ini adalah realiti, bukan sekadar persepsi. Realiti ini harus menakutkan kepada ramai ahli dan pemimpin Umno.
Sekarang, PAS bersama sekutunya Bersatu (serpihan dari Umno juga), jauh mendahului Umno dalam kalangan pengundi-pengundi Melayu di tiga negeri tersebut.
Enam kerusi parlimen Umno itu boleh ditandingi oleh Bersatu. Tanpa calon PAS dan dengan perlawanan dua penjuru, Umno dijangka akan kehilangan semuanya.
Persoalan yang timbul ialah kenapa dan mengapa PAS masih harus bermuafakat dengan Umno?
Kalau untuk ketiga negeri tersebut, maka jawapannya ialah tidak perlu.
Jelas di sana, pengundi memilih parti.
Pengundi di sana tidak melihat kepada ketandusan pimpinan dalam PAS atau isu-isu yang dimainkan PAS adalah remeh-temeh belaka.
Mereka melihat kepada kezaliman Umno yang mengadakan PRU di musim tengkujuh, seperti zalimnya Mahathir yang tidak membantu pembangunan di Kelantan.
Mereka tahu kelemahan dalam Umno, pimpinan yang berpaksikan kepada kekayaan yang melimpah, tetapi tidak sampai kepada rakyat yang di bawah.
Potensi kehilangan jumlah 37+6 kerusi dari 89 kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu adalah satu cabaran yang amat berat buat Umno.
Ini belum dihitung potensi kerusi Bersatu, yang berpindah dari Umno.
Perangkaan tidak berbohong dan dari kajian undian yang lepas, jumlahnya tidak memihak kepada Umno.
Jadi, di mana letaknya kebijaksanaan pemimpin Umno untuk membubarkan parlimen dan mengadakan PRU terkejut di musim tengkujuh ini?
Ini adalah satu strategi politik yang amat lemah dan tidak waras.
Tidak hairanlah bahawa tagline popular di kalangan PAS sekarang ialah: Apabila Umno Lemas, PAS Lebih Kemas. – 15 Oktober, 2022.
*Rosli Khan, pembaca The Malaysian Insight.
Komen