Cyprus mulakan projek saluran elektrik antara Asia dan Eropah


Anggaran kos fasa pertama projek itu sebanyak €1.57 bilion yang menerima geran daripada Kesatuan Eropah (EU) sebanyak €657 juta. – Gambar AFP, 15 Oktober, 2022.

PEMBANGUNAN saluran elektrik antara Asia dan Eropah dilancarkan pada satu acara yang berlangsung di Nicosia, Cyprus pada Jumaat, sekali gus menandakan bermulanya projek bernilai €2.5 bilion (AS$2.4 bilion) itu.

Turut hadir pada acara itu Persuruhjaya Eropah bagi Tenaga Kadri Simson dan Presiden Cyprus Nicos Anastasiades.

EuroAsia Interconnector itu akan menyambungkan grid elektrik Israel, Cyprus dan Greece selain menyalurkan bekalan elektrik daripada sumber boleh baharu di Israel ke Eropah, lapor Xinhua.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Eropah pada Jumaat, anggaran kos fasa pertama projek itu sebanyak €1.57 bilion yang menerima geran daripada Kesatuan Eropah (EU) sebanyak €657 juta  menerusi Kemudahan Penyambungan Eropah (CEF) dan geran €100 juta daripada Kemudahan Pemulihan dan Ketahanan EU

Projek itu dijangka siap pada akhir 2026.

Projek kedua yang sama juga dirancang antara Mesir dan Eropah menerusi Cyprus.

EuroAia Interconnector melibatkan pemasangan kabel bawah laut sepanjang 1,200 kilometer dengan kapasiti 2,000 Megawatt dari Israel ke Cyprus dan ke pulau Greek Crete.

Bekalan elektrik daripada sumber boleh baharu di Israel dan dari Mesir boleh disalurkan ke negara EU yang lain melalui grid Greek (Yunani). (1 euro= 0.97 dolar) – Bernama, 15 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen