Argentina bebaskan anak kapal Venezuela


19 anak kapal pesawat kargo Boeing 747 yang dimiliki syarikat Venezuela Emtrasur yang sejak mendarat di Argentina terheret ke dalam krisis kehakiman dan diplomatik antarabangsa.– Gambar AFP, 15 Oktober, 2022.

LIMA lagi anak kapal pesawat kargo Venezuela yang ditahan sejak Jun lepas di Argentina diberikan kebenaran untuk meninggalkan negara itu, kata pegawai mahkamah kepada media tempatan pada Jumaat.

Tiga warga Iran dan dua warga Venezuela itu adalah sebahagian daripada 19 anak kapal pesawat kargo Boeing 747 yang dimiliki syarikat Venezuela Emtrasur yang sejak mendarat di Argentina terheret ke dalam krisis kehakiman dan diplomatik antarabangsa.

Selepas 14 anak kapal diberikan kebenaran sama bulan lepas, hakim persekutuan Federico Villena memutuskan pada Jumaat yang tidak wujud asas pendakwaan kepada lima yang masih ditahan, menurut laporan media.

Siasatan kehakiman bagaimanapun masih dibuka.

Pesawat Emtrasur itu pertama kali memasuki Argentina pada 6 Jun dari Mexico tetapi tidak boleh mengisi minyak di Buenos Aires kerana sekatan AS ke atas Venezuela, ia kemudian terbang ke Urugay pada 8 Jun.

Selepas pihak berkuasa Uruguay menolak kebenaran akses, ia kembali terbang ke Argentina dan semua anak kapal ditahan di hotel.

Seorang hakim Argentina kemudiannya memohon kebenaran dari AS untuk merampas pesawat itu mendakwa ia melanggar undang-undang apabila Iran -yang juga dibawah sekatan AS- menjualnya kepada Venezuela.

Salah seorang anak kapal warga Iran yang dibebaskan pada Jumaat, Gholamreza Ghasemi, dikaitkan perkhidmatan perisikan Paraguay dengan Al Quds, kumpulan Pengawal Revolusi Iran yang dikategorikan sebagai kumpulan pengganas oleh AS. – AFP, 15 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen