BEKAS ketua Nikola, syarikat pemula trak dikuasakan tenaga elektrik dan hydrogen, disabit bersalah atas pertuduhan menipu pada Jumaat kerana memperdaya pelabur tentang kemajuan dan kemampuan syarikat bagi mendapatkan wang.
Selepas perbicaraan yang bermula pada pertengahan September di mahkamah persekutuan di Manhattan, juri mendapati Trevor Milton, 40, bersalah atas tiga daripada empat pertuduhan.
“Trevor Milton menipu pelabur Nikola- berulang kali,” kata Damien Williams, pendakwa raya AS untuk Daerah Selatan di New York.
“Ini penipuan, mudah sahaja, dan pejabat ini sudah tidak boleh bersabar…biar kes ini jadi amaran kepada sesiapa yang mahu bermain-main dengan kebenaran untuk mendapatkan wang daripada pelabur. Ia tidak akan berakhir dengan baik.”
Pendakwaraya menuduh usahawan itu memperbesarkan jumlah pesanan diterima dan kemampuan syarikat mengeluarkan hidrogen dan menipu tentang prototaip.
Mereka berkata berbanding menawarkan tawaran awam yang biasa dibuat, Nikola menjadi syarikat awam dengan bergabung dengan syarikat awam sedia ada (dikenali sebagai Spac atau Syarikat Perolehan Bertujuan Khas) yang bermaksud terdapat kurang halangan untuk mengeluarkan maklumat penting.
Nikola menjadi tumpuan ramai apabila mula didagangkan di Wall Street pada Jun 2020 sebelum menjalinkan kerjasama dengan General Motors pada September, sekaligus menawarkan keabsahan kepada syarikat bertapak di Phoenix, Arizona.
Tetapi syarikat terheret kontroversi beberapa hari selepas itu apabila firma pelaburan Hindenburg Research mendakwa Nikola dibina “berasaskan penipuan berkaitan kerjaya pengasas dan pengerusi eksekutif Trevor Milton.”
Berdepan pertuduhan difailkan pihak berkuasa AS pada Julai 2021, Milton mengaku tidak bersalah.
Peguamnya berhujah yang sebarang kenyataan yang diperbesar dibuatnya tentang Nikola disasarkan kepada peminat dan pakar kereta dan bukannya pelabur.
Dokumen rasmi mewakili strategi pemasaran syarikat dan dihantar kepada Suruhanjaya Perdagangan dan Sekuriti (SEC) adalah tepat, kata peguam Milton.
Mereka cuba membuktikan yang penyata dihantar pendakwaraya sebagai bukti tidak menunjukkan kesan signifikan kepada harga saham.
Nikola sudah membayar AS$125 juta kepada SEC bagi menyelesaikan saman berkaitan. – AFP, 15 Oktober, 2022.
Komen