AHLI Majlis Tertinggi Umno Abdul Azeez Rahim hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan melibatkan dirinya berkaitan projek terowong bawah laut Pulau Pinang.
Azeez tiba bersama kira-kira 100 penyokongnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada pukul 9.35 pagi tadi.
“Saya menjadi mangsa orang jual nama, saya harap akan ada titik noktahnya. Saya harap semua pihak menyiasat secara telus.
“Kepada rakan-rakan saya di luar, mereka yang ada jawatan ahli Parlimen, menteri, atau timbalan menteri supaya ada nokhtahnya menjadi mangsa penjualan nama, macam-macam kaedah boleh diguna pakai,” katanya kepada pemberita.
Penyokong Azeez turut membawa plakad tertera perkataan “#tolakpolitik fitnah”, “stop fitnah”, dan “hentikan berita palsu”, serta melaungkan slogan “hidup Datuk Seri”.
Ahli Parlimen Baling itu dilaporkan menerima notis tuntutan pada 24 Februari lalu daripada syarikat Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd bernilai RM3 juta berhubung isu projek kontroversi itu.
Azeez hari ini turut mengulangi kenyataannya beliau tidak pernah berurusan dengan syarikat tersebut.
“Saya tidak pernah ada apa-apa urusan dgn Zenith…dalam surat (tuntutan) itu tidak mengaitkan nama saya secara terus. Ada seseorang datang berjumpa mereka memaklumkan nama saya dan mengambil wang.
“Saya memohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat lebih lanjut dan sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab saya sedia beri sebarang kerjasama kepada pihak berwajib kerana penafian saya adalah mutlak,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan bayaran itu dibuat untuk mendapatkan khidmat rundingan pengurusan risiko dan pematuhan peraturan berhubung projek terowong dasar laut sepanjang 7.2km.
“Janganlah ada pihak memularkan fitnah terhadap saya…saya dah lantik peguam saya untuk ambil alih,” katanya lagi.
Beliau berkata sesiapa sahaja boleh menggunakan namanya sebagai perunding kerana dikenali ramai selain memegang jawatan tertingi dalam Tabung Haji.
Seorang ahli perniagaan juga direman enam hari kerana dipercayai menerima rasuah berjumlah RM19 juta bagi menutup siasatan SPRM ke atas projek mega terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang itu. SPRM juga menyita kenderaan mewah dan membekukan empat akaun milik ahli perniagaan itu.
Ahli perniagaan itu dipercayai menerima wang daripada syarikat pembinaan utama projek selepas dikatakan mampu menyelesaikan siasatan yang dilakukan SPRM. – 2 Mac, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan