22 maut, puluhan pekerja terperangkap letupan lombong di Turkiye


Paramedik dan pekerja lombong membawa seorang mangsa yang cedera menaiki ambulans di lokasi letupan lombong arang batu di Bartin, Turkiye. – Gambar EPA, 15 Oktober, 2022.

PASUKAN penyelamat berusaha mencari mangsa yang masih hidup pada Sabtu selepas mengeluarkan 22 mayat dari bawah ratusan meter batu keras akibat letupan metana di sebuah lombong arang batu di pantai Laut Hitam di Turkiye.

Menteri Kesihatan Fahrettin Koca berkata lapan yang lain sedang menerima rawatan rapi di hospital selepas berjaya dikeluarkan daripada salah satu kemalangan industri paling buruk di Turkiye dalam beberapa tahun pada Jumaat.

“Kami menghadapi situasi yang benar-benar menyedihkan,” kata Menteri Dalam Negeri Suleyman Soylu kepada pemberita yang tiba di bandar perlombongan arang batu kecil Amasra.

“Secara keseluruhannya, 110 pekerja bekerja (di bawah tanah). Sebahagian daripada mereka berjaya keluar sendiri, dan sebahagian daripada mereka diselamatkan.”

Soyli turut mengesahkan laporan awal hampir 50 pelombong masih terperangkap di dua kawasan berasingan antara 300 hingga 350 meter di bawah tanah.

Imej televisyen menunjukkan orang ramai yang cemas—ada yang berlinangan air mata—berkumpul di sekitar bangunan putih yang rosak berhampiran pintu masuk lombong menunggu berita rakan dan orang tersayang.

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berkata akan membatalkan semua urusannya yang lain dan terbang ke tempat kejadian pada Sabtu.

“Harapan kami ialah kehilangan nyawa tidak akan bertambah lagi, pelombong kami akan ditemui hidup-hidup,” tulis Erdogan di Twitter.

“Semua usaha kami difokus ke arah ini.”

Kebanyakan maklumat awal tentang mereka yang terperangkap daripada pekerja yang berjaya keluar secara relatifnya tanpa cedera.

Tetapi Datuk Bandar Amasra Recai Cakir berkata ramai daripada mereka yang terselamat mengalami “cedera serius”.

Letupan berlaku beberapa saat sebelum matahari terbenam dan usaha menyelamat terhalang oleh suasa gelap.

Kesatuan pekerja perlombongan Turkiye, Maden Is mengaitkan letupan itu berpunca daripada pengumpulan gas metana.

Tetapi pegawai lain berkata adalah terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai punca kemalangan itu.

Pasukan penyelamat menghantar bantuan dari kampung sekitar untuk membantu mencari mangsa yang hidup.

Imej televisyen menunjukkan paramedik memberi oksigen kepada pelombong yang memanjat keluar dan kemudian membawa mereka ke hospital terdekat.

Gabenor tempatan berkata sepasukan lebih 70 penyelamat berjaya mencapai lokasi dalam lubang kira-kira 250 meter di bawah.

Tidak jelas sama ada penyelamat akan dapat mendekati pekerja yang terperangkap atau apa yang menghalang laluan mereka.

Perkhidmatan pengurusan bencana AFAD Turki berkata punca awal yang menyebabkan letupan itu kelihatan berpunca daripada transformer yang tidak berfungsi.

Ia kemudian menarik balik laporan itu dan berkata gas metana menyalakan tanpa sebab diketahui.

Pejabat pendakwa raya tempatan berkata ia menganggap kejadian itu sebagai satu kemalangan dan melancarkan siasatan rasmi.

Turkiye mengalami bencana perlombongan arang batu paling maut pada 2014 apabila 301 pekerja maut dalam satu letupan di bandar barat Soma. – AFP, 15 Oktober, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen