Henti kerjasama sebab pemimpin BN masih terima rasuah, kata Hadi


Diyana Ibrahim

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata partinya tidak mahu bekerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional kerana pemimpin mereka masih tercalit dengan amalan rasuah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2022.

PAS putuskan kerjasama dengan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana gabungan parti itu masih lagi terlibat dengan amalan rasuah, kata presiden parti Islam itu Abdul Hadi Awang.

Beliau juga menuduh Umno cuai dalam melaksanakan Islam dan rakus untuk terus memerintah negara sehingga sanggup membubarkan Parlimen secara tergesa-gesa.

Jelasnya kerana kekeruhan itu, PAS memutuskan untuk bersama dengan Perikatan Nasional (PN) biarpun tahu ia laluan yang sukar berbanding bersama Umno.

“Kerana ada keruh ini kita tangguh dahulu, jadi kita ambil pendekatan jernihkan keadaan dulu dengan gabungan PN. Tolak yang beri dan terima rasuah (BN).

“Walaupun ini (PN) lebih payah,” katanya semasa menyampaikan kuliah dhuha di Marang hari ini.

Hadi menjelaskan pendirian PAS semalam yang mengumumkan akan memperkukuhkan kerjasama dengan PN dan meninggalkan Umno.

Pendirian itu diumumkan selepas mesyuarat jawatankuasa kerja pusat parti yang memuktamadkan hala tuju parti Islam itu menuju pilihan raya.

Ia menamatkan drama tarik tali antara PAS dengan Bersatu dan juga Umno buat masa ini.

Kalangan menteri dari parti PAS antara 12 anggota Kabinet yang mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong minggu lalu bagi merayu agar Parlimen tidak dibubarkan.

Ia tetap membawa kepada pembubaran Parlimen pada Isnin dan membolehkan PRU15 diadakan dalam tempoh 60 hari. – 14 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen