PARLIMEN Turkiye pada Khamis meluluskan undang-undang media baharu yang boleh menyebabkan wartawan dan pengguna media sosial dipenjarakan sehingga tiga tahun kerana menyebarkan “berita palsu”.
Akta baharu itu mengukuhkan cengkaman kerajaan yang sudah kuat terhadap media menjelang pilihan raya yang akan disertai Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Jun tahun depan.
Undang-undang itu – terdiri daripada 40 pindaan yang setiap satu memerlukan undian berasingan – dicadangkan oleh parti AKP yang berasaskan Islam dan dipimpin Erdogan.
Perundangan tersebut ditentang hebat oleh kumpulan pembangkang utama Turkiye.
Undang-undang yang diluluskan mengenakan hukuman jenayah bagi mereka yang didapati bersalah menyebarkan maklumat palsu atau mengelirukan.
Ia memerlukan rangkaian sosial dan laman web untuk menyerahkan butiran peribadi pengguna yang disyaki “menyebarkan maklumat mengelirukan”.
Ia membolehkan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara kepada wartawan bertauliah dan pengguna media sosial biasa yang “secara terbuka menyebarkan maklumat mengelirukan” antara satu hingga tiga tahun penjara.
Kerajaan juga telah mula menerbitkan “buletin disinformasi” mingguan yang bertujuan untuk membongkar apa yang dianggap sebagai berita palsu dengan “maklumat yang tepat dan benar”.
Kumpulan hak asasi Majlis Eropah berkata, takrifan samar-samar mengenai “penyelewengan maklumat” dan ancaman penjara yang disertakan boleh memberi “kesan menyeramkan dan meningkatkan penapisan diri, apatah lagi memandangkan pilihan raya akan datang pada Jun 2023”. – AFP, 14 Oktober, 2022.
Komen