Ribuan penduduk di Australia diarah pindah akibat banjir 


Penduduk di Rochester, Victoria, Australia, mula berpindah selepas amaran banjir dikeluarkan pihak berkuasa. – Gambar EPA, 14 Oktober, 2022.

RIBUAN penduduk diberi amaran agar meninggalkan kediaman mereka di tenggara Australia pada Jumaat susulan banjir yang mengancam bandar di tiga negeri berasingan.

Kecemasan banjir adalah yang terburuk di Victoria - negeri kedua paling ramai penduduk di Australia - apabila air naik dengan cepat pada pagi Jumaat membanjiri pinggir bandar Maribyrnong di Melbourne sehingga memaksa pemindahan.

Kerajaan Victoria bersiap sedia untuk membuka semula pusat kuarantin Covid-19 untuk melindungi mereka yang rumahnya tidak dapat didiami, kata pemimpin negeri Daniel Andrews kepada ABC Radio.

“Ini merupakan kejadian banjir yang buruk dan masih belum selesai,” katanya pagi Jumaat.

“Cabaran sebenar adalah air terus meningkat dan semakin banyak rumah ditenggelami air, semakin banyak komuniti ditutup.”

Tingkat bawah Anglers Tavern, sebuah pub di tebing Sungai Maribyrnong, hampir sepenuhnya di tenggelami air.

Paras banjir yang hampir mencatat rekod dijangka berlaku lewat petang Jumaat di bandar Shepparton dan Murchison, utara Melbourne.

Bahagian utara Tasmania—sebuah negeri pulau di selatan Victoria—pada Jumaat juga siap siaga berdepan banjir besar.

Arahan pemindahan besar-besaran dikeluarkan, manakala hujan lebat memaksa penutupan kira-kira 120 jalan.

“Banyak nyawa terancam akibat banjir,” kata perkhidmatan kecemasan negeri Tasmania dalam satu kenyataan.

Di New South Wales—negeri paling ramai penduduk di Australia—sebuah pusat pemindahan ditubuhkan selepas hujan lebat petang Khamis di Forbes, sebuah bandar pedalaman kira-kira lima jam memandu ke timur Sydney.

Perkhidmatan kecemasan New South Wales berkata paras banjir di Forbes mungkin memuncak pada Jumaat apabila air bergerak ke hilir.

Pantai timur Australia berulang kali dilanda hujan lebat dalam tempoh dua tahun lalu, susulan kitaran La Nina yang berturut-turut.

Bencana banjir pantai timur pada Mac—disebabkan oleh ribut kuat yang memusnahkan bahagian Queensland dan New South Wales—meragut lebih 20 nyawa.

Puluhan ribu penduduk Sydney diarah berpindah pada Julai apabila banjir sekali lagi melanda subbandar di situ. – AFP, 14 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen