Perancis tolak cadangan Putin jadikan Turkiye hab gas baharu


Pejabat Presiden Perancis dalam satu kenyataan menyifatkan cadangan Presiden Rusia Vladimir Putin menjadikan Turkiye hab gas baharu untuk dibekalkan ke negara lain sebagai tidak masuk akal. – Gambar EPA, 14 Oktober, 2022.

PRESIDEN Perancis pada Khamis menolak cadangan Presiden Rusia Vladimir Putin untuk membina hab gas baharu di Turkiye untuk dibekalkan kepada Eropah, menyifatkan ia sebagai “tidak masuk akal”.

“Tidak ada gunanya mewujudkan infrastruktur baharu yang membolehkan lebih banyak gas Rusia diimport,” kata pejabat presiden.

Putin membuat tawaran itu kepada rakan sejawatannya dari Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada pertemuan bersemuka di Kazakhstan awal Khamis.

“Turkiye telah menjadi laluan paling dipercayai untuk penghantaran hari ini, juga ke Eropah,” kata pemimpin Rusia itu. “Kami boleh mempertimbangkan kemungkinan mewujudkan hab gas di Turkiye untuk bekalan ke negara lain.”

Penghantaran ke Eropah, yang sangat bergantung kepada gas Rusia, telah terganggu oleh pencerobohan Moscow ke atas Ukraine pada Februari.

Barat menuduh Putin cuba memeras ugut Eropah berhubung beberapa sekatan dan mencipta kebocoran pada saluran paip utama, sesuatu yang dinafikan Moscow.

Eropah cuba melepaskan diri daripada gas Rusia, yang kekurangannya telah menyebabkan harga tenaga melonjak di benua itu.

Pejabat Presiden Perancis menunjukkan jatuhnya import gas Rusia ke Eropah daripada hampir 40 peratus beberapa bulan sebelumnya kepada 7.5 peratus hari ini.

“Ia berkemungkinan akan jatuh lagi,” tambahnya.

“Rusia dan Turkiye mungkin memutuskan bersama untuk mengeksport lebih banyak gas, tetapi tidak boleh untuk Kesatuan Eropah, yang mempunyai komitmen kedaulatan, untuk mengurangkan pergantungannya dan juga kepada peralihan iklim,” katanya. – AFP, 14 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen