SEORANG hakim di Brazil mendenda Apple sebanyak AS$20 juta pada Khamis kerana menjual iPhone tanpa pengecas, menyifatkannya sebagai tindakan tidak wajar kerana memaksa pelanggan membeli produk tambahan.
Keputusan itu, yang boleh dirayu, dibuat selepas kementerian kehakiman Brazil mengenakan denda berasingan hampir AS$2.5 juta terhadap Apple pada September berhubung isu yang sama dan menghalang gergasi teknologi AS itu daripada menjual model iPhone 12 dan 13 tanpa pengecas.
Denda baharu—100 juta reais—diputuskan oleh hakim mahkamah sivil Sao Paulo sebagai ganti rugi dalam tuntutan mahkamah yang difailkan oleh Persatuan Pengguna Brazil.
Apple berhenti menyertakan pengecas dengan iPhone baharu pada Oktober 2020, berkata ia mahu membantu mengurangkan sisa elektronik.
Tetapi langkah itu secara berkesan “memerlukan pengguna membeli produk kedua agar produk pertama berfungsi,” Hakim Caramuru Afonso Francisco menulis dalam keputusannya.
Beliau mengarahkan syarikat California itu membekalkan pengecas kepada semua pengguna di Brazil yang membeli model iPhone 12 atau 13 dalam tempoh dua tahun lalu, dan mula memasukkannya dengan semua pembelian baharu.
Apple juga berdepan isu pengecas di negara lain.
Minggu lalu, Parlimen Eropah meluluskan undang-undang yang menghendaki semua telefon pintar, tablet dan kamera menggunakan port USB-C sebagai standard pengecas tunggal mulai akhir 2024, yang akan memaksa Apple menukar reka bentuk telefonnya. – AFP, 14 Oktober, 2022.
Komen