PM Kemboja gesa Asean perkukuh kerjasama pemulihan sosio-ekonomi


Perdana Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen berkata Asean perlu memperkukuh kerjasama bagi memastikan pemulihan sosio-ekonomi rantau itu mampan dan berdaya tahan. – Gambar EPA, 13 Oktober, 2022.

PERDANA Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen hari ini berkata Asean perlu memperkukuh kerjasama bagi memastikan pemulihan sosio-ekonomi rantau itu mampan dan berdaya tahan.

Berucap pada Mesyuarat Majlis Komuniti Sosio-Budaya Asean ke-28 di Phnom Penh, Hun Sen berkata Asean perlu memperkukuh kerjasama dan memberi lebih tumpuan kepada pembangunan modal insan, pendigitalan, kesihatan awam dan sistem perlindungan sosial, agar mampu bertindak balas terhadap krisis pada masa depan, lapor Xinhua.

Pengalaman daripada Covid-19 jelas menunjukkan perlunya pengukuhan jaringan keselamatan sosial serantau yang akan memberi sumbangan besar kepada usaha untuk menggalakkan pembangunan sosio-ekonomi serantau yang saksama dan inklusif, katanya.

Hun Sen berkata Covid-19 berada selangkah kehadapan dan mengubah pendidikan tradisional kepada bentuk digital dan oleh itu Asean wajar bertindak dengan lebih baik bagi mempromosi transformasi digital sistem pendidikan.

Beliau berkata pembangunan ekonomi inovatif dan budaya juga merupakan strategi yang berpotensi untuk menggalakkan pemulihan ekonomi Asean terutama menyokong sektor pelancongan yang teruk terjejas akibat pandemik selain menggalakkan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana.

Keutamaan lain adalah mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat yang akan dapat membantu meningkatkan kesedaran tentang nilai dan identiti Asean dalam kalangan belia serta mengukuhkan peranan belia dalam membina komuniti Asean secara bertanggungjawab, tambah beliau.

“Belia juga memainkan peranan penting dalam menerima pakai teknologi baharu dalam konteks Industri 4.0 yang bakal menjadi penggerak dalam pembangunan sosio-ekonomi di rantau ini,” kata Hun Sen.

Pembangunan sosio-ekonomi yang mampan dan inklusif tidak boleh dipisahkan dalam menimbang kaedah bagi menangani ancaman dan kesan perubahan iklim secara proaktif, katanya sambil menambah pada September Taufan Noru menyebabkan kemusnahan kepada ekonomi wilayah dan meragut banyak nyawa.

“Oleh itu saya mahu mengulangi cadangan supaya inisiatif bagi penubuhan Perjanjian Hijau Asean dilaksanakan bagi memberi sumbangan besar dalam meletakkan Asean pada kedudukan mampan dan berdaya tahan pada masa depan,” katanya.

Kemboja merupakan pengerusi Asean bagi 2022 mengikut sistem penggiliran. Kumpulan serantau itu terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. – Bernama, 13 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen