Pertunjukan udara Sacheon Korea Selatan berlangsung minggu depan


KOREA Selatan akan mengadakan pertunjukan udara di bandar raya di selatan negara itu minggu depan bagi mempamerkan barisan pesawat kententeraan canggihnya termasuk pesawat pejuang KF-21 yang sedang dibangunkan dalam negara. – Gambar EPA, 13 Oktober, 2022.

KOREA Selatan akan mengadakan pertunjukan udara di bandar raya di selatan negara itu minggu depan bagi mempamerkan barisan pesawat kententeraan canggihnya termasuk pesawat pejuang KF-21 yang sedang dibangunkan dalam negara, lapor pegawai Korea pada Khamis.

Pertunjukan Udara Sacheon selama empat hari di pangkalan udara di Sacheon, 301 kilometer di selatan Seoul, Khamis depan akan berlangsung selepas tertangguh bertahun-tahun akibat Covid-19, lapor agensi berita Yonhap.

Pertunjukan udara yang dijalankan sejak 2004 itu merupakan pertunjukan udara tahunan yang dihoskan bersama oleh Tentera Udara, perbandaran Sacheon dan Korea Aerospace Industries (KAI).

Pasukan aerobatik Black Eagles Tentera Udara serta lebih 30 pesawat termasuk pejuang F-35A dan pesawat tangki KC-330 akan melakukan penerbangan lintas.

Juruterbang aerobatik Australia Paul Bennet dan pasukannya akan melakukan demonstrasi penerbangan setiap hari selain demonstrasi penerbangan pesawat tempatan seperti jet pelatih T-50 dan KT-1.

Pesawat pejuang KF-21 buatan negara itu juga akan dipamerkan, menurut laporan itu.

Sacheon adalah pusat KAI, pengeluar pesawat tunggal negara yang mengetuai pembangunan KF-21. – Bernama, 13 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen