KAJIAN mendapati jumlah spesies haiwan liar yang dipantau menurun 69% dalam tempoh 50 tahun lalu, berpunca daripada kemusnahan alam semula jadi akibat kegiatan manusia.
Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) menunjukkan daripada data membabitkan 32,000 spesies hidupan liar, lebih 5,000 spesies mamalia, burung, amfibia, reptilia dan ikan, berkurangan dengan pantas di seluruh dunia.
Di kawasan yang kaya dengan biodiversiti seperti Amerika Latin dan Caribbean, angka kehilangan spesies haiwan setinggi 94%.
Pada peringkat global, laporan itu mendapati spesies haiwan yang dipantau itu juga jatuh 69% sejak 1970.
Malah, sesetengah kawasan mengalami lebih banyak kehilangan spesies hidupan liar berbanding yang lain contohnya di Eropah, pengurangan hidupan liar sebanyak 18%.
Di Afrika, di mana 70% mata pencarian penduduknya bergantung kepada alam semula jadi, laporan itu menunjukkan pengurangan dua pertiga dalam taburan spesies hidupan liar sejak 1970.
Ketua Pengarah WWF International Marco Lambertini, berkata mereka sangat bimbang dengan data baharu itu.
“Ia menunjukkan pengurangan yang dahsyat spesies hidupan liar, khususnya di kawasan tropika yang menjadi ‘rumah’ kepada beberapa landskap biodiversiti yang paling pelbagai di dunia,” katanya.
Pengarah sains di WWF Mark Wright berkata angka itu benar-benar menakutkan terutamanya bagi Amerika Latin.
“Sudah tentu, Amerika Latin terkenal dengan biodiversiti dan ia sangat penting untuk banyak perkara lain juga.
“Ia sangat penting untuk mengawal selia iklim. Kami menganggarkan pada masa ini terdapat kira-kira 150 hingga 200 bilion tan karbon dioksida (CO2) di hutan Amazon,” katanya. – AFP, 13 Oktober, 2022.
Komen