Britain hantar peluru berpandu pertahanan udara ke Ukraine


Britain akan membekalkan Ukraine dengan peluru berpandu pertahanan udara untuk mempertahankan negara itu daripada serangan udara Russia. – Gambar AFP, 13 Oktober, 2022.

BRITAIN akan membekalkan Ukraine dengan peluru berpandu pertahanan udara untuk mempertahankan negara itu daripada serangan udara Russia.

Buat pertama kalinya, negara itu akan menyediakan roket yang mampu menembak jatuh peluru berpandu jelajah benua.

Pengumuman itu dibuat semalam selepas sekutu Barat berikrar untuk menghantar dengan segera pertahanan udara baharu ke Ukraine bagi meningkatkan perlindungan terhadap serangan udara Russia.

Isnin lalu, Presiden Russia Vladimir Putin melancarkan serangan di seluruh Ukraine berikutan letupan di sebuah jambatan ke semenanjung Crimea.

“Roket AMRAAM… akan disediakan dalam beberapa minggu akan datang untuk digunakan dengan sistem pertahanan udara NASAMS yang disediakan Amerika Syarikat (AS).

“Roket itu akan membantu melindungi infrastruktur negara kritikal Ukraine,” kata Kementerian Pertahanan Britain dalam satu kenyataan.

Britain berkata mereka akan menghantar ratusan dron untuk menyokong perkhidmatan perisikan Ukraine serta 18 meriam howitzer, selain 64 unit yang sudah dihantar.

“Senjata ini akan membantu Ukraine mempertahankan langit mereka daripada serangan dan mengukuhkan pertahanan peluru berpandu keseluruhan mereka bersama NASAMS AS,” kata Menteri Pertahanan Britain Ben Wallace.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky pada Selasa merayu kepada negara kaya G7 termasuk Britain untuk membantu Kyiv mewujudkan perlindungan udara.

Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) Jens Stoltenberg berkata keutamaan penyokong Barat Ukraine adalah untuk menyediakan Kyiv dengan lebih banyak pertahanan udara bagi melindungi daripada serangan sembarangan Russia. – AFP, 13 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen