Kes cacar monyet kini lepasi angka 70,000, lapor WHO


Setakat ini, AS mencatatkan jumlah kes cacar monyet tertinggi di dunia. – Gambar EPA, 13 Oktober, 2022.

JUMLAH kes wabak cacar monyet global kini mencecah 70,000, umum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu ketika ia memberi amaran penurunan kes baharu tidak bermakna orang ramai harus leka.

WHO berkata jumlah kes minggu lalu semakin meningkat di beberapa negara di Amerika ketika ia menekankan penurunan kes baharu di seluruh dunia boleh menjadi tempoh “paling berbahaya” bagi wabak itu.

Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata lebih 70,000 kes kini dilaporkan kepada agensi kesihatan PBB tahun ini, dengan 26 kematian.

“Secara global, kes terus menurun, tetapi 21 negara pada minggu lalu melaporkan peningkatan kes, kebanyakannya di Amerika, yang menyumbang hampir 90% daripada semua kes yang dilaporkan minggu lalu,” katanya pada sidang media di Geneva.

“Penurunan kes boleh menjadi tempoh paling berbahaya, kerana ia boleh menyebabkan kita berfikir krisis telah berakhir, dan menyebabkan kita alpa.”

Beliau berkata WHO sedang bekerjasama dengan beberapa negara untuk meningkatkan kapasiti ujian dan memantau trend.

“Kami bimbang laporan kes di Sudan, termasuk di kem pelarian berhampiran sempadan dengan Ethiopia,” tambah Tedros.

“Seperti Covid-19, cacar monyet kekal sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan dunia, dan WHO akan terus menganggapnya demikian.”

AS paling terjejas

Peningkatan jangkitan cacar minyet dilaporkan sejak awal Mei di kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan kaum sejenis, di luar negara Afrika yang sekian lama menjadi endemik.

Lebih 42,000 kes kini dilaporkan dari Amerika dan hampir 25,000 dari Eropah.

Kes dilaporkan daripada 107 negara anggota WHO tahun ini, walaupun 39 negara lagi tidak mencatatkan kes baharu dalam tempoh 21 hari lalu.

Sebanyak 10 negara dengan jumlah kes tertinggi ialah: AS (26,723); Brazil (8,147); Sepanyol (7,209); Perancis (4,043); Britain (3,654); Jerman (3,640); Peru (2,587); Colombia (2,453); Mexico (1,968); dan Kanada (1,400).

Kesemua negara ini menyumbang hampir 87% daripada kes global.

Berdasarkan data yang diberikan, 97% adalah lelaki, dengan umur median 35 tahun; 90% dikenal pasti sebagai lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis; dan 49% positif HIV, menurut WHO.

Penyakit ini menyebabkan demam, sakit otot dan bengkak pada kulit yang besar seperti bisul. – AFP, 13 Oktober 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen